KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dalam tiga bidang di bawah tanggungjawabnya iaitu pengangkutan darat, maritim dan udara di bawah program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari.

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kementerian itu melaksanakan pergerakan AKM 100 harinya dengan lancar dan mempergiatkan tugas sejak 1 Sept bagi memastikan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) itu mencapai sasaran.

"Bagi merancakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan negara, kita perlu selesaikan semua tunggakan (pengangkutan darat) -- ini adalah satu cabaran besar dan saya meletakkan sasaran RM3.53 bilion.

"Dalam lapan bulan pertama 2021, kita mendapat kutipan hasil setiap bulan sebanyak RM292.5 juta sebulan, tetapi sasaran saya adalah untuk mencapai RM400 juta sebulan dalam tempoh 100 hari ini.

"Sebelum ini, kita hanya menguruskan 48,000 transaksi lesen kenderaan motor sehari, namun, selepas AKM 100 hari, kita telah menganjakkan sehingga 96,500 transaksi sehari dan semua tunggakan lama dapat diselesaikan.

"Setakat ini, 85 peratus kerja-kerja tertunggak telah diselesaikan," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Wee berkata beliau kagum dengan pencapaian Jabatan Pengangkutan Jalan berikutan mencapai kutipan hasil sebanyak RM3.34 bilion iaitu pencapaian hampir 95 peratus, sekali gus percaya bahawa sasaran RM3.53 bilion dapat direalisasikan dalam masa yang ditetapkan.

Malah, beliau turut berbangga dengan pencapaian maritim apabila prestasi sektor pelabuhan melibatkan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang terus meningkat.

"Dua pelabuhan ini sangat penting. Kita menguruskan 9.85 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dari segi pemunggahan atau pengendalian kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun lepas dan setakat ini telah mencapai 9.94 juta TEU.

"Bagi Pelabuhan Klang, saya rasa kita akan mencapai rekod tertinggi berbanding tahun sebelumnya kerana setakat ini kita telah mendapat 12.11 juta TEU dan mengikut unjuran, kita akan mencapai 13.8 juta TEU sehingga hujung tahun ini -- melebihi paras sebelum COVID-19," katanya.

Beliau berkata ini membuktikan pelabuhan negara yang masih rancak dan tidak pernah ditutup meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan berdepan situasi pandemik.

Dalam pada itu, Wee turut gembira dengan pemindahan operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) dari Subang ke Sepang untuk pengoperasian sepenuhnya.

"Ini bukan sahaja melibatkan belanja yang agak besar. Ia telah dirancang pada 2014, tetapi disebabkan COVID-19, ia tergendala kerana pakar tidak boleh masuk dan kita menghadapi sedikit kesulitan.

"Ia menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan kita mempunyai peralatan yang canggih. Saya boleh katakan ini merupakan antara alat paling canggih dari segi pengawalan ruang udara dan memberi pendaratan yang lebih tepat serta lebih optimum," katanya.

Menurut Wee, dengan wujudnya sistem baharu KLATCC, sektor ruang udara Malaysia telah bertambah kepada 14 berbanding tujuh sebelum ini.

Beliau berkata pendaratan pesawat pula meningkat sehingga 108 sejam menggunakan tiga landasan pada satu-satu masa berbanding 78 pendaratan pesawat sebelum ini.

"Disebabkan kita menggabungkan teknologi dan mengoptimumkan apa yang boleh disepadukan, ia menjadi satu perkara yang menguntungkan kita dari segi saingan global. Kita bersiap siaga untuk sektor penerbangan ini kembali kepada tahap sebelum COVID-19.

"Ini bukanlah satu perkara mudah. Saya berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang bertungkus-lumus untuk mencapai sasaran bermula September," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan KLATCC pada 1 Dis ini.

"Pada 2019, semasa kerajaan sebelum ini, CAAM telah diturunkan daripada Kategori 1 kepada Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) dan apabila saya menjadi Menteri Pengangkutan, hasrat saya adalah untuk mengembalikannya semula kepada Kategori 1.

"Ini sangat penting kerana ia akan mempengaruhi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kita. Kita mahu dapatkan hak pendaratan, aspirasi CAAM adalah untuk kita mendapat penarafan Kategori 1," katanya.

Beliau berkata kesemua 33 kelemahan yang dirumuskan FAA pada 2019 telah ditangani dan kumpulan pakar daripada agensi di AS itu akan kembali ke Malaysia untuk menjalankan audit pada 6 Dis.

"Kita berdoa dalam tempoh lima hari mereka mengaudit akan mengembalikan sektor penerbangan kita kepada Kategori 1 -- ini merupakan impian bersama dan akan mempertingkatkan daya saing sektor penerbangan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA