SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MoT) dan penggiat industri logistik perlu menumpukan perhatian terhadap usaha meningkatkan kemahiran berkaitan melalui pusat kecemerlangan dan latihan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pengangkutan dan industri logistik perlu fokus pada peningkatan kemahiran melalui pusat kecemerlangan dan latihan.
  • Penting untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam sektor logistik untuk mengelakkan ketinggalan.
  • Perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway Baharu akan menyokong aktiviti import/eksport yang berkembang pesat di Malaysia.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini penting memandangkan pelaburan dalam sektor logistik di negara mencatatkan peningkatan ketara.

“Atas sebab itu saya mahu kementerian dan rakan-rakan beri tumpuan lebih dalam bidang ini (logistik) kerana tahap kepesatan perubahan terlalu cepat.

“Kalau umpamanya jentera kita lembap, kita akan ketinggalan.

"Sebab itu saya juga menekankan pengurusan kastam harus melakukan perubahan, dan tahniah atas beberapa perubahan dicapai walaupun seperti mana kita tahu, ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway baharu, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express (Asia Pasifik), Ken Lee.


DHL Express Kuala Lumpur Gateway berkeluasan 13,422 meter persegi itu bakal menyokong aktiviti import/eksport yang berkembang pesat di Malaysia setara peningkatan perdagangan antarabangsa.

Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa dengan kemajuan yang dikecapi dalam industri logistik setakat ini.

“Kita mewakili pandangan bahawa tidak mudah kita capai kemajuan kalau kita mudah selesa.

“Kalau satu penyakit, baik pimpinan politik atau pengurusan, ialah apabila kita beri angka-angka yang menyenangkan, padahal kita tahu keupayaan kapasiti untuk kita memperbaiki itu banyak,” katanya.