KUALA LUMPUR: Kos penyelenggaraan lapangan terbang di seluruh negara di bawah kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka meningkat 34 peratus pada 2024.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata MAHB telah membelanjakan sebanyak RM546 juta pada 2023 untuk membiayai kos penyelenggaraan bagi memastikan semua lapangan terbang kendaliannya berkeadaan baik.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini, kementerian itu berkata MAHB memperuntukkan sebanyak RM191.1 juta bagi kos penyelenggaraan semua lapangan terbang dan padang terbang di Sarawak pada 2023.

"Peruntukan ini telah dinaikkan kepada RM27.1 juta bagi 2024 iaitu kenaikan 41.9 peratus berbanding kos pada 2023," katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Pele Peter Tinggom mengenai lapangan terbang di seluruh negara terutama di Sarawak yang perlu dinaik taraf, dibaik pulih dan diselenggara.

Menjelaskan selanjutnya, MOT berkata sehingga 2024, pihaknya menerusi MAHB telah mengenal pasti lapan lapangan terbang yang perlu dinaik taraf termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Kemudahan lain adalah Lapangan Terbang Miri, Padang Terbang Bario, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang.

"Kos pembangunan akan dibiayai oleh kerajaan melalui Peruntukan Pembangunan atau dibiayai MAHB yang melibatkan lapangan terbang kompetitif dan berdaya saing," katanya.

Kaedah pembiayaan menaik taraf projek kompetitif akan dilaksanakan melalui model pemulihan pelaburan yang akan dibincangkan dengan MAHB dan tertakluk kepada persetujuan kerajaan.

Menurut MOT, ini sejajar dengan keputusan kerajaan memberi hak kepada MAHB untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan sebanyak 39 lapangan terbang dan padang terbang di Malaysia bagi tempoh sehingga 2069 melalui dua perjanjian operasi yang dimeterai pada 18 Mac, 2024.

"Bagi memastikan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan di semua lapangan terbang seluruh negara, termasuk di Sarawak dalam keadaan selamat dan selesa, pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia melaksanakan rangka kerja Kualiti Perkhidmatan secara berperingkat di semua lapangan terbang mulai September 2018," katanya.

Rangka kerja itu turut memperkenalkan penalti kewangan kepada pihak pengendali lapangan terbang yang gagal mematuhi standard ditetapkan.

-- BERNAMA