PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan tidak berhasrat untuk melakukan pusingan U berhubung pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP)  yang akan bermula 1 Oktober ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan melaksanakan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bermula 1 Oktober tanpa sebarang perubahan, dan kenderaan asing perlu mematuhi undang-undang jalan raya Malaysia.
  • Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi peringatan keras kepada kenderaan asing, terutama dari Singapura, untuk mematuhi undang-undang dan membayar denda sebelum meninggalkan Malaysia jika melanggar peraturan.
  • Kementerian Pengangkutan dan JPJ sedang meneliti SOP untuk memudahkan pemilik kenderaan asing mendaftar permit VEP, dengan pengumuman lanjut akan dibuat selepas pemeriksaan di Johor Bahru.


Selain itu, beliau turut memberi peringatan keras terhadap semua kenderaan asing yang masuk ke Malaysia supaya mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini apabila ia dilaksanakan nanti.

"Mesejnya adalah jelas. Bermula 1 Oktober, VEP ini akan dikuatkuasakan. Saya juga ingin sampaikan mesej ini kepada warga Singapura yang sering datang ke Malaysia..kami mengalu-alukan (kehadiran), tetapi mereka perlu mematuhi undang-undang dan peraturan kami seperti mana warga Malaysia masuk ke Singapura dan mematuhi undang-undang jalan raya mereka.

"Tanpa VEP, terdapat banyak saman yang tidak dikesan. Jadi dengan adanya pelaksaan ini, mana-mana kereta asing yang masuk ke Malaysia, jika mereka melanggar undang-undang negara, mereka perlu membayar denda sebelum meninggalkan negara," katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA) pada Selasa.

Pada masa sama, Loke juga menyedari tentang kesukaran orang ramai khususnya pemilik kenderaan asing untuk mendaftar permit tersebut.

Justeri, katanya Kementerian Pengangkutan Bahagian Darat serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan untuk meneliti prosedur operasi standard (SOP) untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Bila kami (pihak MOT) sudah kenal pasti punca tersebut, kami akan umumkan dan saya akan turun sendiri ke Johor Bahru untuk melakukan pemeriksaan dan (selepas itu) kami akan lakukan pengumuman tentang pembaharuan," ujarnya lagi.