KOTA BHARU: Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Mohd Ali itu bagi menggantikan Ketua Polis Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara.

Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin.

Sementara itu, Razarudin mengucapkan terima kasih kepada Muhamad Zaki atas perkhidmatan dan jasa beliau sebagai Ketua Polis Kelantan.

"Setiap daripada kita akan mengatur langkah seterusnya (pencen) dan membina hidup baharu bersama keluarga apabila meninggalkan pasukan ini.

"Saya percaya banyak penugasan dan komitmen yang telah diberikan beliau (Muhamad Zaki) sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Polis Kelantan menjadi sandaran cemerlang untuk perkhidmatan PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Razarudin berkata beliau yakin Mohd Ali mampu menerajui barisan pimpinan polis Kelantan.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata sungguh berat dan sedih untuk meninggalkan perkhidmatan PDRM.

"Sungguh saya tidak dapat membayangkan apabila keluar daripada pasukan ini kerana separuh daripada hidup saya berkhidmat untuk PDRM," katanya.

-- BERNAMA