Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar Negeri yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata, Mohamad akan mengetengahkan kepentingan bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan, pembangunan sosio-ekonomi, serta memperkukuhkan kerjasama dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan, tindakan dan penyesuaian iklim, teknologi dan inovasi termasuk peralihan tenaga.
Perbincangan Mohamad dengan rakan-rakan sejawatan juga akan tertumpu kepada pengukuhan Kerjasama Selatan-Selatan dan merapatkan jurang pembangunan di samping isu-isu serantau dan global, serta isu-isu dua hala berkepentingan bersama.
"Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) kekal sebagai platform penting untuk Malaysia menyalurkan bantuan teknikal dan pembinaan keupayaan di kalangan Negara-NegaraMembangun.
"Selain itu, sebagai usaha mengukuhkan keupayaan, Malaysia juga menyumbangkepada Tabung Kerjasama Teknikal Komanwel.
"Sebagai anggota Komanwel sejak 1957, Malaysia akan terus mempromosi prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang termaktub dalam Piagam Komanwel dan mengukuhkan kerjasama antaraNegara-Negara Anggota," menurut kenyataan itu.
Bertemakan "One Resilient Common Future: Transforming Our Common Wealth", CHOGM 2024 akan dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara/Kerajaan dan Menteri-Menteri dari 56 Negara Anggota Komanwel.
Perbincangan turut akan memfokuskan kepada politik global dan pembangunan ekonomi, tadbir urus baik, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, kelestarian, perubahan iklim dan pembangunan sosio-ekonomi.
Dua dokumen hasil dijadual diluluskan, iaitu CHOGM Communique dan Commonwealth Ocean Declaration yang akan menggariskan keutamaan dan komitmen Komanwel dalam perkara-perkara itu termasuk isu pemerkasaan wanita, belia, alam sekitar, pendidikan, kesihatan,teknologi dan inovasi, serta biodiversiti lautan. - BERNAMA