KUALA LUMPUR: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memutuskan untuk menangguh permohonan geran Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) 2025 ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kenyataan yang dikeluarkan MITRA, Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini memaklumkan penangguhkan berkenaan adalah bagi membolehkan pihaknya membuat penambahbaikan pasca libat urus yang diadakan di enam negeri.

"Dalam libat urus itu, MITRA menerima pelbagai pandangan dan input berhubung pembangunan sosioekonomi masyarakat India serta berkaitan permohonan geran PPSMI.

"Sehubungan itu, MITRA dalam proses membuat beberapa penambahbaikan dan telah memutuskan untuk menangguhkan tarikh pembukaan permohonan geran PPSMI Tahun 2025 kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Tarikh baharu pembukaan permohonan geran akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas penambahbaikan kepada garis panduan dan Sistem Permohonan Geran Kewangan MITRA (SPGKM) selesai,"  jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu menjelaskan, garis panduan permohonan geran dan SPGKM juga akan diselaraskan semula demi mencapai objektif MITRA iaitu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Sebelum ini, permohonan geran itu dijadualkan dibuka pada 15 Oktober lalu pada pukul 2.30 petang untuk tempoh selama 31 hari sehingga 14 November ini.