PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf peranan penting yang dimainkan penjawat awam dalam usaha membantu meningkatkan prestasi dan menjamin kejayaan negara.

Beliau berkata, kerajaan bersyukur kerana sejak kebelakangan ini negara banyak mendapat pengiktirafan dengan merekodkan kemajuan dari segi ekonomi dan pertumbuhan termasuk pengukuhan ringgit berbanding 14 tahun lalu.

"Kejayaan ini tentu kerana politiknya lebih stabil, kemudian dasar dan kerangka lebih jelas, tetapi satu elemen sangat penting untuk dijelaskan ialah kerana kita mempunyai budaya tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi, menjamin kejayaan (negara).

"Walaupun tidak banyak diuar-uarkan tetapi itu kenyataannya," katanya dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Anwar berkata, walaupun merekodkan banyak kejayaan namun penjawat awam perlu bersikap tawaduk dan sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan dan memperbaiki kelemahan untuk mencapai prestasi lebih baik.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada 2 Ogos lepas, ringgit dilihat mengekalkan aliran peningkatan untuk hari ke-10 berturut-turut mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan pada RM4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika potensi negara maju itu menurunkan kadar faedah utama terus ketara.

Pada 6 petang Jumaat lepas, ringgit mengukuh ke paras 4.4945/4995 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5675/5710 pada Khamis. - BERNAMA