Ringkasan AI
- Kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun kepada Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) bermula tahun depan untuk meringankan beban kewangan pelatih dan menarik minat pelajar.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan elaun ini akan diselaraskan dengan unit beruniform lain seperti Palapes dan Suksis.
- Ahmad Zahid yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan peruntukan yang setara dengan pasukan sukarelawan lain di universiti untuk memenuhi syarat kokurikulum siswa dan siswi di IPTA dan IPTS.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Jabatan Perdana Menteri diminta memperhalusi cadangan tersebut bagi meringankan beban kewangan pelatih serta sebagai usaha menarik minat pelajar menyertai pasukan sukarelawan itu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa berkata pemberian elaun berkenaan adalah selaras dengan unit beruniform lain seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis).
"Askar Wataniah dan pasukan sukarelawan lain telah diberikan elaun latihan dan uniform namun untuk Kor Sispa ini tidak ada elaun...elaun bertugas dan uniform (pakaian seragam).
"Ia akan diselaraskan walaupun perkara ini merupakan permintaan yang telah dibuat begitu lama," katanya dalam sidang media selepas Istiadat Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan kali ke-15 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.
Terdahulu, 769 Pegawai Kadet Sispa daripada Kor Sispa IPT ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam dan 58 kadet Institut Pendidikan Guru (IPG) ditauliahkan sebagai Staf Muda Pertahanan Awam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan akan membuat pelarasan dengan memberi sejumlah peruntukan yang sama dengan pasukan sukarelawan yang ditubuhkan di universiti.
Katanya penyertaan dalam unit beruniform itu adalah sebagai satu syarat untuk memenuhi kokurikulum siswa dan siswi di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
"Saya yakin Perdana Menteri akan membuat pelarasan dengan memberikan peruntukan yang setara seperti yang diterima oleh pasukan kokurikulum dan sukarelawan lain di IPT," katanya.
-- BERNAMA