Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr Arie Dwi Andika, ia tidak logik kerana potongan pada bangkai kucing itu cukup kemas seakan-akan menggunakan alat tajam, bukan gigitan taring haiwan.
“Saya tidak menafikan kes ini berpotensi disiasat mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Seksyen 30) dan Seksyen 428 kanun keseksaan kerana berkait dengan perbuatan khianat terhadap haiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Persatuan Haiwan Malaysia dengan Kerjasama Persatuan Rakan Kucing Malaysia di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, di sini, pada Sabtu.
Arie mengharapkan kes itu tidak dipandang mudah kerana pelaku berkemungkinan penghidap sakit mental, lebih teruk ia akan berani bertindak untuk membunuh orang.
“Kita khuatiri ada individu psikopat ataupun mereka yang ada sakit jiwa sebab sebelum ini ada kes bangkai biawak ditemui dipotong sebegitu rupa di kawasan berhampiran, jadi itu yang bimbang di pihak kami, kita minta sistem jenayah haiwan berjalan dengan baik sesuai dengan keadilan sistem jenayah manusia yang lain," ujarnya.
Penegasan sama turut disuarakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang menggesa UM meningkatkan peranan entiti Universiti Malaya Animal Guardians hasil penubuhan pada Ogos lalu, agar siasatan segera selesai.
Perkara itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang bagi mewakili Wan Azizah.
Azman yang juga Penaung Persatuan Rakan Kucing Malaysia pada akhir sidang akhbar menyimpulkan, semua haiwan tidak kira sama ada haiwan peliharaan mahupun bukan peliharaan perlu diberi perlindungan sewajarnya di negara ini kerana setiap mahkluk bernilai.