Astro AWANI sebelum ini membuat pendedahan tentang lambakan minyak gamat tiruan yang didakwa telah menjejaskan pasaran produk bahan eksotik berkenaan terutamanya di Pulau Langkawi.

Implikasinya?

Kali ini, ada pengusaha yang menjadi mangsa tampil berkongsi cerita susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menciplak jenama produk mereka.

Menurut Mohd Nisya Shauri, pengusaha minyak gamat syarikat Warisan Saju ketika ditemui Astro AWANI mendedahkan penjualan produk mereka merosot 10 peratus sejak diciplak.

Lebih malang, jenamanya telah digunakan pada botol minyak tiruan sejak 20 tahun lalu.

BACA: Lambakan minyak gamat palsu di Langkawi?

"Kesannya saya tidak pasti, namun ujian di makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui logam berat di dalam minyak berkenaan dengan kandungan logam yang tinggi.

"Mungkin ada barang terlarang di dalam minyak tiruan ini kita pun tidak tahu. Minyak yang digunakan sebelum ini mungkin juga minyak masak."

Kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan dari pengguna yang memaklumkan tiada kesan positif selepas menggunakan minyak tradisional itu.

Pihaknya telah memanjangkan kes terbabit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perbicaraan telah selesai di Mahkamah.

Namun, pihak terbabit seolah-olah mempunyai 'imuniti' kerana operasi penghasilan minyak gamat tiruan masih dijalankan.

Minyak gamat asli jelas Mohd Nisya perlu menggunakan minyak kelapa dara atau minyak sawit komersial dicampur dengan pelbagai jenis herba selain gamat.

Untuk rekod, setakat ini, syarikatnya telah mengeluarkan 3.8 tan minyak gamat siap diproses untuk menampung permintaan di seluruh negara