Astro AWANI menerima gambar berupa kad ucapan disampaikan oleh penumpang dari Australia, yang tiba ke ibu negara, hari ini.
Mereka menyatakan rasa simpati kepada anak-anak kapal, atas apa yang berlaku ke atas petugas pesawat MH370 yang masih hilang.
Pada masa sama, Sue dan Rachel juga berbangga kerana terbang bersama MAS dan pasangan itu mahu semua anak-anak kapal dan juruterbang MAS tahu bahawa petugas MAS sentiasa dalam ingatan mereka.
Astro AWANI turut difahamkan krew kabin yang bertugas dalam penerbangan terbabit berkongsi isi kandungan kad itu dengan semua penumpang melalui sistem pengumuman pesawat sejurus selepas ketibaan di mana keadaan ketika itu suasana terus menjadi hiba.