Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media, Sabtu, mengenai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

"Sudah hampir sebulan sejak MH370 hilang. Operasi pencarian adalah sukar, mencabar dan rumit. Walaupun menghadapi semua halangan ini, keazaman kami tetap utuh.

"Kami akan meneruskan pencarian pada tahap kekuatan dan tenaga yang sama. Kami mempunyai kewajipan kepada keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370 dan kepada dunia. Kami akan terus memberi fokus, dengan menggemblengkan segala usaha kami, untuk mencari pesawat itu.

Penyiasatan mengenai MH370

"Mengikut keperluan yang digariskan oleh ICAO (International Civil Aviation Organisation) dalam Lampiran 13 Amalan Standard dan Perakuan Antarabangsa, Malaysia akan terus mengetuai penyiasatan kehilangan MH370.

"Mengikut standard ICAO, Malaysia juga akan melantik "Penyiasat Bertanggungjawab" yang bebas untuk mengetuai pasukan penyiasatan.

"Pasukan penyiasatan mengandungi tiga kumpulan:

* kumpulan layak terbang - untuk mengkaji isu-isu seperti rekod penyelenggaraan, struktur dan sistem,

* kumpulan operasi - untuk mengkaji perkara seperti perakam penerbangan, operasi dan meteorologi,

* kumpulan perubatan dan faktor manusia - untuk menyiasat isu seperti faktor psikologi, patologi dan kelangsungan hidup.

"Pasukan penyiasatan juga akan dianggotai negara-negara bertauliah.

"Malaysia telahpun meminta Australia menjadi wakil rasmi kepada pasukan penyiasatan ini, dan mereka telah menerimanya.

"Kami juga akan memasukkan China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis sebagai wakil rasmi kepada pasukan penyiasatan bersama-sama dengan negara lain yang kami rasa berada dalam situasi untuk membantu.

Penubuhan Jawatankuasa

"Selain daripada pasukan penyiasatan baharu yang dinyatakan itu, Kerajaan - dalam usaha memperkemas dan memperkukuh usaha berterusan sekarang - telah menubuhkan tiga jawatankuasa peringkat menteri.

"Yang pertama, kami telah menubuhkan Jawatankuasa Waris. Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Luar, mengetuai jawatankuasa ini.

"Jawatankuasa ini akan menyelia semua aspek berhubung dengan waris mereka yang menaiki pesawat MH370, dengan menyalurkan maklumat mengenai operasi pencarian kepada anggota keluarga dan menawarkan sokongan selepas operasi pencarian berakhir.

"Jawatankuasa ini akan menyelaras dengan kerajaan asing berkenaan, dan akan melengkapkan usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia Airlines untuk anggota keluarga.

"Jawatankuasa kedua akan menyelia aspek teknikal, khususnya, penubuhan dan pelantikan pasukan penyiasatan. Abdul Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan, mengetuai jawatankuasa ini.