Ringkasan AI
- Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan bahawa beberapa pengasas produk dan pempengaruh sedang dipantau kerana memiliki kemewahan luar biasa meskipun produk mereka kurang dikenali.
- Polis menggunakan strategi tertentu untuk mengumpul bukti dan mengaitkan individu terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah serta penggubahan wang haram.
- Usahawan kosmetik dan pempengaruh yang disyaki dipercayai bukan sekadar pengedar kecil, tetapi berperanan sebagai dalang utama dalam sindiket pengedaran dadah.
Beliau berkata, pihaknya sedang menggunakan strategi tertentu untuk mengumpul bukti dan mengaitkan individu terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah serta penggubahan wang haram.
"Fikir secara logik, produk kosmetik mereka tidak dikenali ramai dan mungkin tidak mempunyai pembeli, namun di rumah terdapat deretan kereta mewah.
"Tunjuk duit berkepuk-kepuk di media sosial padahal baru beberapa bulan keluarkan produk. Saya mendedahkan perkara ini berdasarkan maklumat yang ada dan bukan bercakap kosong," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.
Mohd Yusoff menambah bahawa usahawan kosmetik dan pempengaruh yang disyaki terbabit bukan sekadar pengedar kecil, sebaliknya berkemungkinan menjadi dalang utama dalam sindiket tersebut.
"Kami mengesan bahawa mereka memiliki rangkaian lengkap dalam menjalankan kegiatan ini. Mereka dipercayai bukan sekadar pengedar biasa, tetapi berperanan sebagai penyuntik modal dalam urusan jual beli dadah.
"Dalam kebanyakan kes, mereka menggunakan pihak ketiga untuk menguruskan transaksi, supaya aktiviti ini sukar dikaitkan dengan mereka secara langsung," jelasnya.
Tambah beliau, individu terbabit sangat licik kerana berselindung di sebalik perniagaan kosmetik dan beberapa bidang lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa polis Kelantan mengesan ramai usahawan, termasuk pengasas produk dan pempengaruh di negeri ini yang mempamerkan kemewahan luar biasa, dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah serta penggubahan wang haram.
Mohd Yusoff berkata, ia berdasarkan beberapa kes yang pernah dilaporkan sebelum ini. -- Sinar Harian
