KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini berkata pihak Meta Platforms Inc (Meta) menyatakan komitmen dan kesediaan bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung jenayah dalam talian.

"Saya percaya kerjasama yang terjalin membolehkan jenayah scam, judi dalam talian dan isu 3R di platform Meta dapat dikurangkan," katanya katanya menerusi catatan di Facebook hari ini selepas mempengerusikan perjumpaan bersama Meta, MCMC dan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Fahmi berkata pertemuan itu dilakukan susulan peningkatan kes penipuan, judi dalam talian dan isu 3R iaitu agama (religion), institusi Diraja (royalty) dan kaum (race) ketika ini.

"Kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia bagi tempoh Januari - Mei 2023 menerusi platform Meta (Facebook, Instagram, dan WhatsApp) mencecah hampir RM330 juta.

Ini merupakan peningkatan 25 peratus berbanding Januari hingga Disember 2022," katanya.

Turut hadir timbalannya Teo Nie Ching, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Ma Sivanesan, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta pengurusan tertinggi PDRM.

-- BERNAMA