Seorang remaja lelaki lemas selepas dibawa ombak ketika sedang mandi bersama keluarga dan rakan-rakannya di Pantai Teluk Bahang, Batu Ferringghi di sini hari ini.

S.Sunni,14, berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang mandi di pantai itu dan diberi bantuan awal termasuk resusitasi kardiopulmopari (CPR) namun disahkan meninggal dunia, kemudian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas pada pukul 12.58 tengah hari sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati remaja itu telah ditemui dan mangsa juga diberi bantuan awal iaitu CPR oleh orang ramai. Namun pegawai perubatan yang memberikan rawatan mendapati remaja itu meninggal dunia kira-kira pukul 1.29 tengah hari kerana lemas," katanya yang menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, seorang saksi yang melihat kejadian itu dan hanya mahu dikenali sebagai Badrol, 30, berkata beberapa orang yang sedang berkelah di situ terus terjun ke laut untuk membantu mangsa selepas dimaklumkan rakannya remaja berkenaan di bawa ombak.

"Saya difahamkan dia dan beberapa orang lagi anggota keluarga dan rakan datang berkelah di sini sebelum turut ke laut untuk mandi.Tiba-tiba mangsa dibawa ombak serta ada beberapa rakannya cuba membantu tetapi gagal.

Mereka menjerit meminta tolong sebelum orang ramai membantu dan berjaya membawa mangsa ke pantai,kami cuba memberi bantuan CPR kepada remaja berkenaan," katanya.

-- BERNAMA