Pada majlis penyerahan cek replika dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sembilan lagi organisasi tampil menyerahkan sumbangan mereka.
Organisasi tersebut adalah Yayasan Sime Darby, Yayasan Hasanah, Berjaya Corporation Bhd, Yayasan ECM Libra, Methodist Crisis Relief Development, UMW Holdings Bhd, Yayasan CIMB, Yayasan AmBank dan MIDF-Amanah Investment Bank Bhd.
Sim dalam ucapannya berkata pendanaan kolektif yang mencukupi perlu ada untuk pertubuhan kemanusiaan seperti Mercy Malaysia, dana yang sedia ada untuk kecemasan, dana untuk komuniti yang memerlukan pada pelbagai fasa termasuk pemulihan dan pembangunan.
"Organisasi korporat, institusi, para dermawan dan anggota masyarakat patut tampil ke depan dan menyumbang kepada mereka (Mercy Malaysia), bagi memastikan pendanaan dan sokongan yang konsisten.
"Saya menggalakkan (pihak) korporat, institusi, dermawan dan anggota masyarakat untuk menyokong usaha Mercy Malaysia mengumpul dana. Bersama, kita boleh membawa perubahan signifikan kepada mereka yang terkesan dengan bencana," katanya pada majlis itu.
Gempa bumi pada 6 Februari 2023 dan gempa susulan di Turkiye dan Syria telah mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan yang dilanda bencana itu serta kehilangan nyawa dan menyebabkan hampir 2.2 juta orang kehilangan tempat tinggal, dengan angka kematian mencecah 51,000, kecederaan 17.9 juta dan 195,400 bangunan musnah.
Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata organisasi itu memperuntukkan dana tersebut kepada empat komponen tindak balas iaitu akses kepada sokongan penjagaan kesihatan, tempat perlindungan kecemasan, sokongan makanan dan barangan bukan makanan, air, sanitasi dan sokongan kebersihan serta sokongan dan perlindungan psikososial.
Ahmad Faizal berkata walaupun Mercy Malaysia menetapkan sasaran RM22 juta di hujung kutipan dana itu, badan itu tidak menetapkan garis masa khusus untuk mencapai jumlah tersebut, namun badan itu menyasarkan untuk kutipan tersebut berlangsung selama enam bulan.
"Dengan pendanaan lanjut, kerja-kerja bantuan kemanusiaan boleh diperhebat untuk pemulihan berimpak, rehabilitasi dan program-program pembangunan untuk rakyat Turkiye dan Syria pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA