Zinal Nahman, 57, bersama keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya di Felda berkenaan musnah dalam kebakaran tersebut.
Sebelum kejadian tersebut, dia yang baru empat bulan menyewa di rumah itu mengetahui kebakaran tersebut selepas dimaklumkan peniaga lain di bazar Ramadan berkenaan pada jam 4.30 petang.
"Semasa kejadian saya bersama dua anak dan isteri sedang berniaga air di bazar berkenaan sebelum diberitahu rakan tentang kebakaran ini.
"Saya hanya mampu meraung melihat api marak membakar rumah. Saya tidak pernah menangis meraung seperti semalam, melihat rumah sewa terbakar sampai musnah di depan mata.
"Orang ramai juga turut menahan saya agar saya tidak meluru ke dalam rumah. Dalam rumah banyak barang kami, tambahan pula anak bongsu Alia Syafiqa, 15 masih bersekolah. Kami tinggal sehelai sepinggang, yang ada bersama kami kini hanya balang air," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Syed Ben Bella Al Habshee pada Ahad.
Bapa kepada tiga anak itu bersyukur dan bernasib baik kerana Alia Syafiqa yang biasanya tinggal di rumah mengikutnya berniaga pada Sabtu.
Katanya, kebetulan seorang pembantunya tidak bekerja menyebabkan dia mengajak anaknya itu membantunya di bazar.
"Mujur dia ikut kami berniaga, kalau tidak saya boleh jadi tidak waras dengan apa yang berlaku. Semalam juga perasaan saya rasa seperti lain macam seolah-olah mahu bawa semua barang bersama berniaga.
"Seperti motosikal selalunya saya tinggal di rumah hanya guna kereta sahaja untuk berniaga tetapi tergerak mahu bawa semalam, jika tidak sudah pasti turut sama musnah.
"Tambahan pula ketika kejadian tiada orang di rumah. Seorang lagi anak bekerja. Memang tidak sempat selamatkan apa-apa termasuklah sebuah motosikal milik anak yang rosak disimpan dalam rumah turut hangus," katanya.
Difahamkan kebakaran itu berlaku dipercayai berpunca akibat panahan petir selepas jiran mangsa mendakwa melihat kilat menyambar sebelum terdengar bunyi bising letupan kebakaran dari rumah mangsa.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, seramai 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi pemadaman.
Menurutnya, kejadian yang melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal itu mengakibatkan 90 peratus daripada kediaman itu terbakar termasuk sebuah motosikal jenis Honda RS terbakar 95 peratus. - Sinar Harian