Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu menekankan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai sektor bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu Menteri Luar akan mempengerusikan bersama JCM Ke-8 antara Malaysia dan Iran bersama dengan rakan sejawatnya, Seyyed Abbas Araghchi.
"JCM akan membincangkan skop dan butiran mengenai bidang kerjasama strategik antara kedua-dua negara, meliputi pelbagai bidang.
"Ia merangkumi politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, perbankan dan kewangan, pertanian, kesalinghubungan, tenaga, pelancongan dan budaya, sains dan teknologi, wanita dan keluarga, pendidikan serta industri halal," menurut kenyataan itu.
Semasa lawatan itu, Mohamad juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian.
"Perbincangan mereka akan tertumpu kepada hubungan dua hala Malaysia-Iran, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, khususnya situasi di Palestin dan urusan Timur Tengah yang lebih luas," menurut Wisma Putra.
Pada 2024, Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding 2023.
Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan yang ke-19 terbesar di dunia pada 2023. - BERNAMA
