KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa ahli dan pengikut GISB masih lagi mengamalkan mengamalkan kepercayaan Aurad Muhammadiah yang diwarisi sejak era Al-Arqam.

Perkara itu kata beliau berdasarkan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap ahli dan pengikut GISB yang ditahan.

"Saya ingin mengesahkan bahawa siasatan pasukan polis setakat ini mengesahkan ada pengakuan bahawa amalan terhadap ajaran Aurad Muhamadiah ini masih lagi dilakukan oleh kalangan yang kita tangkap dan di soal siasat.

"Kalaupun ada kenyataan di luar yang menyebut bahawa mereka sudah pun tidak lagi mengamalkannya, itu kenyataan mereka.

"Kita akan hanya bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan yang berlaku," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri mengenai perkembangan dan tindakan peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan GISB, di sini pada Selasa.

Sebelum ini Khaulah Ashaari, 38 yang juga anak kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, menafikan terdapat ahli dan pengikut kumpulan itu masih mengamalkan kepercayaan Aurad Muhammadiah selepas mengikuti kursus dan proses istitabah anjuran Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga akan menyelesaikan isu nasab anak-anak kumpulan itu mengikut setiap kes yang dikendalikan.

"JPN juga tidak selesai di sini. Kita akan membina family tree untuk mengesan susur jalur bagi mengelakkan masalah nasab ke depan nanti kerana kompleksnya apabila anak yang ditinggalkan dalam keadaan tidak mengenali susur galur keluarga

"Itu semua dilakukan secara telus oleh pakar pakar psikologi kita. Di polis, kita ada D11, dan ini membabitkan peranan yang besar bilangannya, ribuan anggota dan pegawai kerajaan di peringkat kementerian," jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beberapa langkah lanjutan akan diambil pihak berkuasa khususnya dalam menjejaki dan merampas aset dimiliki kumpulan itu.

"Siasatan ke luar negara bukan satu tugas mudah, 18 negara. Kalau pun kenyataan awal Ketua Polis Negara turut menyebut kegagalan syarikat ini membayar cukai pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau perbuatan tidak membayar gaji.

"Apabila polis meluaskan siasatan kepada entiti perniagaan ini di luar negara, tidak membayar cukai dan tidak membayar gaji itu adalah merupakan kesalahan yang serius di negara-negara berkenaan.

"Untuk itu, pihak polis sudah memulakan langkah menghubungi negara-negara berkenaan dengan kita mengguna pakai MLA (Mutual Legal Agreement) bagi memudahkan kerjasama itu dibuat," katanya.