PENDEDAHAN terkini mengenai mengenai penglibatan agensi perisikan Israel, Mossad dalam pelaksanaan operasi penculikan warga Palestin di Malaysia telah menggemparkan negara.

Bagaimana tidak, kerisauan rakyat meningkat apabila laporan sebuah media tempatan yang mendakwa ejen Mossad sudah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Memetik laporan itu, Mossad dipercayai merekrut rakyat tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara baru-baru ini.

Namun, kerisauan itu segera diredakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri tidak mahu rakyat terlalu bimbang dengan tahap keselamatan negara selain jaminan beliau bahawa kerajaan sentiasa memastikan tahap keselamatan negara pada tahap tertinggi sepanjang masa.

Menurut Ismail Sabri lagi, beliau pada masa ini juga masih belum menerima laporan lengkap mengenai dakwaan keberadaan ejen Mossad di Malaysia.

BACA: Dakwaan ejen Mossad: PM beri jaminan keselamatan negara masih di tahap terbaik

BACA: 
Anwar Ibrahim nafi didakwa ejen Mossad


Penglibatan kuasa asing

Penglibatan agensi dan kuasa asing dalam pelaksanaan operasi rahsia di negara ini sebenarnya bukan perkara baharu.

Beberapa kes terdahulu telah berlaku di Malaysia seperti:

1. Abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, Kim Jong Nam yang telah dibunuh pada 13 Februari 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Operasi ini dipercayai mempunyai kaitan dengan pemimpin utama negara tersebut.

2.  Dr Fadi M R Al Batsh Fatma (Imam Fadi Al-Batsh), seorang warga Palestin yang dibunuh pada 21 April 2018 di Kuala Lumpur. Menurut laporan akhbar, saksi menyatakan operasi ini didalangi oleh Mossad.

Tidak mustahil juga sekiranya kuasa-kuasa asing yang lain turut menjalankan operasi rahsia di Malaysia bagi kepentingan pihak tertentu.

Antara entiti yang dipercayai menjalankan operasi rahsia dan menjadi perhatian komuniti antarabangsa adalah United Front Work Department (UFWD).

UFWD adalah salah satu bahagian atau unit yang penting di bawah Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) atau dikenali sebagai Central Committee of Chinese Communist Party (CCP) yang secara rasmi ditugaskan sebagai barisan hadapan penyebar pengaruh dan propaganda komunis China.

Dalam melaksanakan usaha ini, UFWD mengumpulkan apa jua maklumat mengenai individu dan organisasi elit di dalam dan luar negara China seterusnya mereka bertanggungjawab mengurus dan membina hubungan dengan individu serta organisasi tersebut.

Setelah itu, langkah seterusnya adalah kerja-kerja mempengaruhi individu-individu dan organisasi-organisasi ini akan terus dijalankan.

Peranan UFWD juga telah dipertingkatkan sejak Presiden Xi Jinping mengambil alih tampuk pemerintahan China pada tahun 2012.

Ini terbukti apabila pada tahun 2015, Xi Jinping telah menyatakan bahawa UFWD adalah senjata ajaib utama dalam memperkuatkan dan memperkukuhkan kedudukan parti pemerintah selain sebagai alat penting dalam merealisasikan 'China Dream' serta kebangkitan negara berkenaan.

Susulan itu, pada Januari 2022, agensi perisikan domestik United Kingdom (MI5) telah mengeluarkan amaran kepada badan legislatif negara tersebut mengenai ancaman campur tangan asing yang dijalankan secara rahsia dan licik oleh seorang operatif UFWD iaitu Christine Lee.

Melalui amaran tersebut, MI5 mendakwa Christine Lee telah menyalurkan sejumlah dana bagi pihak China untuk membiayai kempen politik UK seterusnya mempengaruhi keputusan pilihan raya agar memberi kelebihan kepada negara tersebut.

Untuk pengetahuan, undang-undang di UK sememangnya menghalang sebarang bentuk sumbangan politik dari luar negara yang dikhuatiri memberi kesan kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, pada Mei 2021, terdapat juga laporan yang menyatakan pihak berkuasa Australia telah memutuskan untuk menutup institut pengajian yang dibiayai oleh China iaitu Confucius Institute kerana terdapat kekhuatiran institusi tersebut digunakan bagi menyebarkan propaganda dan pengaruh China di Australia.


Jangan ditolak kemungkinan yang mungkin berlaku termasuk pembiayaan UFWD dalam kempen-kempen parti politik menjelang penamaan calon PRU15 pada 5 November depan. - Gambar hiasan


Timbul persoalan

Peristiwa yang berlaku seharusnya membuka mata pihak tertentu yang harus melihat dengan lebih mendalam terhadap sasaran UFWD kepada negara.

Pendanaan mereka perlu diselidik dan dipantau lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jangan ditolak segala kemungkinan yang mungkin berlaku termasuk pembiayaan UFWD dalam kempen-kempen parti politik menjelang penamaan calon PRU15 pada 5 November depan.

Kita juga harus menyedari Malaysia sendiri mempunyai lima buah Confucius Institute dan persoalan dilanjutkan lagi, adakah negara akan mengikut jejak langkah Australia dalam isu ini?

Umum juga pasti mahu tahu apakah pelan jangka panjang untuk mengatasi isu campur tangan asing di negara ini.

Apakah penggubalan akta baharu contohnya Foreign Interference (Counter Measures) Act 2021 seperti di Singapura harus dibawa segera ke Parlimen, dibentang, dibahaskan dan dilaksanakan di negara ini atau kita hanya membuka hanya sebelah mata sambil menenangkan rakyat dengan jaminan keselamatan tanpa sebarang tindakan tegas.

Atau kita mahu terus menutup mata serta membiarkan isu ini semakin membarah di dalam negara?


Rujukan:

• https://www.astroawani.com/berita-malaysia/suspek-kes-bunuh-pensyarah-palestin-di-kl-sah-ditahan-mengaku-terima-arahan-mossad-340779

• https://mca-marines.org/wp-content/uploads/Chinese-Communist-Party-Influence-Operations.pdf

• https://www.bbc.com/news/uk-62179004

• https://erudera.com/news/australia-to-shut-down-chinese-learning-institutions-due-to-propaganda-suspicion/

• https://sso.agc.gov.sg/Acts-Supp/28-2021/Published/20211125?DocDate=20211125



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.