Menariknya pada hari biasa mereka mendaki pada waktu siang, namun kali ini, 25 pendaki terbabit memulakan pendakian ke puncak Gunung Datuk, di sini, jam 2.15 pagi Ahad.
Tujuan mereka adalah untuk mencipta kelainan dengan bersahur di puncak gunung setinggi 884 meter itu.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Negeri Sembilan (PMGNS), Ahmad Nazrul Razali berkata, aktiviti sedemikian bukan kali pertama dianjurkan, sebaliknya dimulakan sejak 2021.
"Sebenarnya sudah empat tahun kami melakukan aktiviti ini, tetapi sebelum ini hanya dalam kalangan ahli persatuan sahaja.
"Kali ini kami buka penyertaan kepada komuniti 'hikers' luar dan kami agak terkejut juga apabila sambutan memang memberangsangkan malahan ada tiga pendaki dari Johor sanggup datang dari jauh untuk sertai kami," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menceritakan perjalanan aktiviti itu, Ahmad Nazrul berkata mereka memulakan perjalanan ke puncak gunung itu seawal jam 2.15 pagi sebelum tiba pada pukul 4 pagi.
Katanya, keadaan gelap dan bentuk muka bumi yang mencabar selain faktor jalan basah menyebabkan mereka perlu berhati-hati dengan setiap langkah bagi memastikan tidak berlaku sebarang kemalangan atau kecederaan.
"Kalau mengikut kebiasaan, untuk jarak pendakian sejauh itu hanya mengambil masa kurang sejam sahaja, tetapi kerana perjalanan ini melibatkan 25 orang pada waktu awal pagi yang masih gelap, kami perlu lebih berhati-hati.
"Lagi pula cuaca baru lepas hujan jadi perjalanan ini sedikit mencabar selain ada antara mereka yang pertama kali ingin menawan puncak Gunung Datuk ini," tambahnya.
Katanya, setiap peserta membawa makanan masing-masing dan mereka bersama-sama memasak nasi dan menjerang air di puncak gunung untuk bersahur beramai-ramai.
"Apabila kami menjayakan aktiviti ini pada bulan Ramadan yang mulia ini, bukan sahaja kami dapat mengekalkan momentum stamina para pendaki tetapi secara tidak langsung ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara semua.
"Saya yakin objektif kami dalam menganjurkan program ini tercapai dan buktinya kami terima respons yang amat positif," tambahnya.
Jelas Ahmad Nazrul, pihaknya bercadang untuk menjadikan program itu sebagai acara tahunan dan membuka peluang kepada lebih ramai peminat aktiviti pendakian untuk merasai pengalaman bersahur di puncak gunung tanpa sebarang bayaran.