Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tidak dirujuk atau dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkaitan pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.
"Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PETRA bersama-sama Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk dilaksanakan bermula pada Julai 2025.
Fadillah berkata semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapat keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.
Fadillah berkata kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.
Bagi pengguna kategori domestik serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Fadillah berkata kerajaan terus komited untuk melindungi mereka supaya tarif yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar.
Selain itu pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan diteruskan bagi memastikan 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (KwJ) dan ke bawah tidak akan terkesan.
Beliau berkata pengguna kategori komersial dan industri yang menggunakan elektrik yang banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik mereka pada kadar sebenar.
Namun Fadillah berkata kerajaan menggalakkan pengguna kategori itu memasang panel solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing serta mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga seperti melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di premis mereka.
Mengenai harga bahan api, beliau berkata dalam tempoh kawal selia ketiga (RP3 - Regulatory Period 3) bermula tahun 2022 hingga 2024, unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar US$79 (RM353.30) per tan metrik dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat (two tier pricing) menggunakan formula Reference Market Price (RMP).
Peringkat pertama, bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24/MMBtu dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu, manakala harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.
Bagaimanapun pasca COVID-19 dan krisis tenaga global, harga bahan api meningkat secara mendadak dengan harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) bagi tahun 2025 hingga 2027 diunjurkan pada kadar US$97 (RM433.80) per tan metrik dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 juta mmscfd akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu.
"Harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu," katanya.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, masih di peringkat cadangan.
-- BERNAMA