PUTRAJAYA: Kerajaan telah memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia melalui pelaksanaan kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, dengan mengekalkan rebat untuk pengguna domestik dan menurunkan surcaj ICPT untuk pengguna komersial dan industri serta kategori lampu jalan.
  • Jumlah subsidi elektrik bersasar untuk tempoh tersebut adalah RM2.192 bilion, dengan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 bagi pengguna miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
  • Kerajaan menggalakkan penggunaan tenaga secara berhemah dan cekap melalui Program SAVE 4.0 dan inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik di bawah Program Net Energy Metering (NEM) serta Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS).


Sehubungan keputusan itu, rebat dua sen per kilowatt jam (kWj) dikekalkan bagi 6.9 juta pengguna domestik di bawah 600 kWj, tiada perubahan kepada 1.3 juta pengguna di bawah 1,500 kWj, dan rebat 10 sen/kWj untuk 85,000 pengguna melebihi 1,500 kWj.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat dengan terus melindungi pengguna domestik melalui subsidi elektrik secara bersasar.

Selain itu, pengguna komersial dan industri pula akan menikmati penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak satu sen/kWj bagi tempoh yang sama.

Di samping itu, Petra berkata, Kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak satu sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran, di samping menyokong usaha untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, dan seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Petra berkata, secara keseluruhan, jumlah subsidi elektrik bersasar bagi Julai hingga Disember 2024 adalah sebanyak RM2.192 bilion, berbanding RM1.934 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini.

Selain itu Petra berkata, kebajikan golongan berpendapatan rendah juga terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 bagi pengguna dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dengan sistem e-Kasih, dengan peruntukan RM55 juta bagi tahun 2024.

Pengguna yang layak, katanya lagi, boleh menyemak status di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

“Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, pengguna disaran utnuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.

“Di bawa Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu Petra berkata, pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

Melalui program baharu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), ia berkata, pengguna baharu NEM yang memohon kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April akan menerima rebat RM1,000/kwAC sehingga maksimum RM4,000.

“Kementerian percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik masa kini, supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi Kerajaan.

“Peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat, serta membolehkan Kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan, dan menyokong sektor pendidikan negara,” katanya lagi.