SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 81.34 kilogram (kg) yang bernilai RM2.6 juta ke Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Dis lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata barangan berbahaya itu ditemukan di dalam empat bungkusan yang diikrarkan sebagai alat tulis untuk dihantar ke destinasi berkenaan melalui perkhidmatan mod udara.

Norlela berkata kira-kira pukul 10.15 pagi (17 Dis), pasukan operasi telah mengesan objek yang mencurigakan di dalam empat kotak bungkusan melalui mesin pengimbas di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

"Hasil pemeriksaan terhadap empat kotak terbabit, pihak kami telah menemukan 80 bungkusan plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan awal pada slip penghantaran, kotak itu dialamatkan kepada individu disyaki palsu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Norlela berkata pihaknya telah mengesan alamat pengirim adalah palsu melalui semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mengetahui kewujudan syarikat berkenaan yang tertera di bahagian maklumat pengirim pada bungkusan itu.

"Alamat pengirim atas nama syarikat beralamat di Puchong, Selangor, tetapi siasatan kita dengan SSM mendapati syarikat ini tidak wujud. Kini siasatan masih diteruskan," katanya.

Beliau berkata siasatan diteruskan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada hab logistik dan penghantaran bungkusan di Shah Alam, Selangor yang terakam pada 13 Dis lepas.

"Dalam rakaman CCTV, kita kesan seorang lelaki tempatan menghantar bungkusan-bungkusan ini ke parcel hub. Kita kesan kereta yang digunakan lelaki ini ialah kereta sewa, iaitu Toyota Camry," katanya.

Menurut Norlela, usaha mengesan individu terbabit akan dipergiatkan bagi membantu siasatan memandangkan hasil rampasan kali ini adalah terbesar menggunakan modus operandi kiriman bungkusan melalui mod udara.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

-- BERNAMA