Media arus perdana yang lebih terbuka akan menyebabkan kurangnya kebergantungan orang ramai kepada media sosial.

Begitulah pandangan penganalisis politik Datuk Dr Denison Jayasooria dalam sesi temubual Agenda Awani pada Isnin yang telah membincangkan topik realiti masyarakat pasca Pilihan Raya ke-13.

Menurut beliau, media arus perdana atau ‘mainstream’ yang kerap kali bersifat propaganda akan menyebabkan orang ramai tidak lagi percaya kepada media.

“Mereka akan pergi ke internet atau pergi ke satu kawasan untuk mendengar pandangan alternatif yang tidak terdapat di media formal,” kata Denison, yang merupakan Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Orang mahu satu pentas di mana perbincangan rasional boleh didengar dan bukan dengar satu suara sahaja. Kita hendak dengar pandangan daripada, A, B, dan C." katanya lagi.

Ujar Denison, media harus memberi setiap cadangan untuk dibahas, dan dicabar oleh golongan wartawan dan akhirnya boleh dinilai oleh rakyat.

Dalam pada itu, Denison berkata di peringkat Dewan Rakyat, pemimpin-pemimpin harus debat dengan hujah yang lebih berisi.

“Kita tidak mahu pemimpin yang gaduh-gaduh macam budak-budak. Akhirnya, kita hendak pemimpin yang tanya: Bagaimanakah boleh kukuhkan negara ini dan menjadikan Malaysia kompetitif di taraf dunia?

"Pemimpin harus melihat agenda besar untuk membina negara dan bukan membina parti politik masing-masing," tambahnya.