ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan dua lelaki termasuk seorang warga emas kerana disyaki terlibat dengan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM148,000 di Taman Lam Foong, dekat sini, pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Penahanan dan Rampasan: Polis menahan dua lelaki, termasuk seorang warga emas, yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah bernilai hampir RM148,000 di Taman Lam Foong. Dua pucuk pistol juga dirampas.
  • Jenis Dadah: Dalam rumah yang diserbu, ditemui tiga jenis dadah: ketamin (1.3 kg), pil eramin 5 (113 gram), dan ekstasi (989 gram).
  • Siasatan: Polis sedang menyiasat peranan kedua-dua lelaki ini dalam kumpulan jenayah dan kemungkinan penggunaan dadah dalam parti tertutup.


Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya turut merampas dua pucuk pistol daripada salah seorang daripada mereka.

Katanya, pihaknya terlebih dulu menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dalam kawasan taman tersebut kira-kira pukul 6.30 petang.

"Pemeriksaan terhadap tubuh suspek menemukan dua pucuk pistol yang diletakkan di pinggang bersama 48 peluru yang diletakkan di dalam poket seluar.

"Susulan itu, pihak kami melakukan serbuan di salah sebuah rumah dalam taman perumahan tersebut dan menahan seorang lagi lelaki berusia 65 tahun di situ," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, pada Selasa.

Fisol berkata, pemeriksaan dijalankan di rumah tersebut menemukan tiga jenis dadah iaitu 62 peket plastik berisi ketamin seberat 1.3 kilogram (kg), 40 pembalut aluminium berisi pil eramin 5 seberat 113 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989 gram.

"Pihak polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen yang dipercayai diperolehi daripada kegiatan mengedar dadah.

"Ujian urin mendapati suspek pertama yang memiliki tujuh rekod lampau termasuk berkaitan dadah dan jenayah, positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua yang tidak memiliki rekod jenayah negatif dadah," katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua lelaki itu memainkan peranan dalam kumpulan jenayah tertentu, Fisol berkata siasatan masih dijalankan mengenainya.

"Dalam masa sama, kami juga sedang menyiasat mengenai pasaran dadah yang dirampas. Biasanya dadah jenis ketamin digunakan di pusat-pusat hiburan.

"Namun kami juga menyiasat kemungkinan dadah ini digunakan dalam parti yang diadakan secara tertutup," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 21 Julai depan.

Kes disiasatan mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika hukuman mati tidak dikenakan, individu terlibat hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan.