KUALA LUMPUR: Dasar yang stabil dan bersifat jangka masa panjang tanpa sebarang perubahan asas yang ketara penting dalam usaha peralihan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata pelabur melihat aspek ini sebagai suatu yang sangat penting demi meraih hasil yang baik.

“Apabila kita bercakap tentang projek yang kami labur dalam skala yang besar termasuklah projek infrastruktur.

“Saya fikir adalah penting untuk menyokong usaha transisi ini dengan dasar yang stabil dan bersifat jangka masa panjang.

“Supaya pelabur yakin untuk melabur di negara-negara tertentu, dengan tujuan mereka dapat meraih pendapatan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Jelasnya, selain daripada menggubal dasar umum, Kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada perincian dasar yang membolehkan projek-projek berkaitan peralihan tenaga dilaksanakan secara berkesan.

“Sama ada ia berkaitan pelaburan dalam infrastruktur grid tenaga, akses kepada grid tenaga bagi membolehkan pemindahan tenaga dari satu negeri ke negeri yang lain.

“Saya fikir sebahagian dasar yang ada membolehkan projek tenaga baharu ini digerakkan pada skala besar.

“Kita dapat lihat di beberapa negara, apabila grid kuasa ini dihubungkan dan dasar yang tepat digubal, kita saksikan banyak perubahan berlaku,” katanya lagi.

Purohit juga menegaskan kepentingan agar kerjasama rentas sempadan negara-negara ASEAN juga diterokai bagi membolehkan perkongsian tenaga baharu ini dengan negara-negara jiran.

Menurutnya, usaha ini juga akan membuka peluang perniagaan yang menguntungkan negara-negara anggota.



Agenda AWANI: Future energy | Connection the dots