PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperuntuk RM13.7 juta bagi meningkatkan akses internet di tiga universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan langkah awal dalam menyelesaikan masalah liputan internet yang telah lama membelenggu institusi pengajian tinggi

"Sebanyak lebih daripada 2,000 akses perolehan titik WiFi  akan dipasang di ketiga-tiga universiti itu bermula Januari 2025. Perbincangan telah pun dilakukan antara pihak kementerian, MCMC dan para naib canselor universiti-universiti awam pada 5 Disember lalu.

“Pemasangan ini diharap dapat mengatasi masalah liputan internet di bahagian luar, dalam bangunan serta di dalam kampus,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, pada Jumaat.

Fahmi menjelaskan, tiga universiti berkenaan adalah sebagai permulaan dan akan diperluaskan ke universiti lain selepas ini.

Katanya, kerajaan berharap pelaksanaan ini dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan mendukung agenda transformasi digital dalam sektor pengajian tinggi.