KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat usaha bagi memastikan masalah capaian internet di Kampung Ranggom, Keningau diatasi segera termasuklah menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan komunikasi swasta.

MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah melawat seorang pelajar Atiqah Nurqistina Jamain di kampung berkenaan beberapa hari lalu bagi memahami masalah dan keperluan pelajar yang terkesan itu.

"Semasa lawatan tersebut, ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah pengadu dan hasil ujian mendapati liputan di lokasi adalah tidak memuaskan.

"Sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi oleh adik Atiqah Nurqistina, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat iaitu di Kg. Labak Baru Bingkor," kata kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan, Atiqah Nurqistina pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan, berhadapan kesukaran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana masalah capaian internet.

Tambahnya, Atiqah juga boleh boleh mengguna pakai kemudahan Wifi yang sedia ada di Pusat Internet Komuniti (PIK) namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Tindakan itu adalah penyelesian sementara bagi memudahkan pelajar meneruskan aktiviti PdPR.

Bagi penyelesaian jangka panjang, solusi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudahpun dirancang dengan pembinaan sebuah menara oleh pihak Celcom menerusi projek JENDELA di Kg. Sungai Apin-Apin kira-kira 0.77 kilometer dari Kg. Ranggom.

"Pembinaan menara ini yang dijangka siap pada bulan April 2022 akan menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar berkenaan dan para penduduk di sekitar Kg. Ranggom," katanya lagi.