TAWAU: Pencarian kehilangan seorang pemuda akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam sungai Kampung Indera Sabah, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi, mayat Hazlan Abdul Hamid, 23, ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, mayat mangsa ditemui oleh seorang anggota Rela yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa sebelum menghubungi polis.

"Terdahulu bapa mangsa yang berumur 50 tahun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sri Indah pada Jumaat berkaitan kehilangan anaknya yang keluar daripada rumah sejak Khamis jam 8 malam dan belum pulang ke rumah.

"Bapa mangsa juga turut mengadu bahawa anaknya mengalami sakit mental," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Kaedah mencari melibatkan orang kampung dijalankan, namun gagal menemui sehingga mayat mangsa ditemui tertiarap di dalam sungai.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital Tawau dan proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian COVID-19 diketahui.