Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan nilai kebolehjangkitan atau R naught (R0) COVID-19 di negara ini meningkat kepada 1.72 berbanding hanya 0.72 yang dicatatkan dua minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ketara itu memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi dalam komuniti.

"Berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh KKM, terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat di dalam Malaysia.

"Masyarakat kemungkinan kian alpa dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Nasihat-nasihat yang telah diberikan mulai diambil ringan, dan ini termasuklah juga oleh petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi," katanya dalam sidang media, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, petugas barisan hadapan sememangnya mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti oleh COVID-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan.

"Ini tidak kiralah di fasiliti Kerajaan atau swasta. Selain itu, petugas kesihatan juga boleh mendapat jangkitan semasa berada di dalam komuniti, iaitu sama seperti individu yang lain di dalam masyarakat.

"Justeru, pematuhan 100 peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan juga semasa tidak bertugas adalah amat penting.

"Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19," katanya.

ANDA MUNGKIN BERMINAT

COVID-19: Kes baharu melonjak kepada 100 - Dr Noor Hisham


Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham mengesahkan seorang anggota kesihatan daripada Kluster Sungai yang didapati telah menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya.

Sebagai rekod, R0 adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes itu.