IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak mengangkat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, ke tepi bahu jalan dalam keadaan seperti marah sejurus selepas perlanggaran berlaku.

Kanak-kanak lelaki yang juga saksi ke-11 itu berkata, pemandu kereta Perodua Ativa tersebut dilihat seperti dalam keadaan marah melalui tindak tanduk dan pergerakan tangannya.

Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak dapat mendengar apa-apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut kerana sepanjang kejadian, dia berada di bahu jalan berdekatan simpang tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.

"Selepas perlanggaran, saya ada melihat pemandu kereta Ativa tersebut turun dari kereta dan mengangkat Zaharif ke tepi bahu jalan.

"Saya hanya bergerak ke bahu jalan tempat Zaharif diangkat selepas perlanggaran setelah pemandu kereta Ativa beredar dari tempat kejadian.

"Saya dapat perasan kejadian tersebut kerana bunyi motosikal Zaharif yang kuat. Saya fokus pada kejadian dan dapat melihat kejadian kereta itu mengejar dan melanggar motosikal Zaharif," katanya sewaktu membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet di sini pada Rabu.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, saksi tidak dapat membuat pengecaman terhadap wajah pemandu kereta Ativa tersebut dan hanya mengesahkan pemandu seorang lelaki.

Afzainizam: Pemandu Ativa yang kamu lihat keluar pergi ke arah Zaharif, adakah kamu tahu beliau pegawai polis?

Saksi: Tidak.

Afzainizam: Bila kamu tahu?

Saksi: Sehari selepas kejadian.

Afzainizam: Bagaimana kamu tahu dan dari mana?

Saksi: Daripada rakan saya.

Dalam prosiding perbicaraan hari ke tujuh itu, saksi juga memberitahu mahkamah bahawa dia melihat Zaharif jatuh dari motosikal yang ditunggangi dan motosikal itu telah terseret ke arah hadapan kereta Ativa.

Kejadian itu berlaku selepas kereta Ativa tersebut melanggar bahagian lampu belakang motosikal ditunggangi Zaharif dengan bumper bahagian tengah kereta.

"Kereta Ativa tersebut seterusnya telah menggilis Zaharif.

"Sebelum perlanggaran berlaku tiada sebarang bunyi hon dari kereta Ativa tersebut atau tanda-tanda kereta Ativa tersebut menekan brek," katanya.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili Peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Prosiding perbicaraan disambung pada sebelah petang bagi soal balas peguam.

Mohd Nazri, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian