IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kertas siasatan kes polis didakwa membunuh pelajar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie telah diambil alih pihak Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh.


Ringkasan AI
  • Pengambilalihan siasatan: Kertas siasatan kes pembunuhan pelajar Muhammad Zaharif Affendi oleh polis telah diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ipoh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh.
  • Rampasan pakaian tertuduh: DSP Mohd Zulkefli membantu dalam rampasan pakaian tertuduh di Penjara Taiping, yang digunakan semasa kejadian, untuk tujuan penyiasatan lanjut.
  • Pendakwaan dan perbicaraan: Mohd Nazri Abdul Razak, seorang pegawai kanan polis, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi dan perbicaraan kes ini sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi.


Ketua BSJD Ipoh DSP Mohd Zulkefli Mohd Mukhtar, 51, berkata kertas siasatan itu pada mulanya dibuka pada 15 Dis 2023 oleh Pegawai Penyiasat Trafik Insp Jong Pit Chao namun selepas penelitian awal, ia diambil alih BSJD Ipoh pada 16 Dis 2023 dan dikendalikan oleh ASP Chua Sze Chuan atas arahan Ketua Polis Daerah Ipoh.

Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata pada 18 Dis 2023 selepas arahan tuduh dan arahan lanjut penyiasatan diterima daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR), kertas siasatan itu diambil alih oleh ASP S. Dasarathan atas arahan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) dan dibantu kedua-dua pegawai penyiasat awal iaitu Insp Jong dan ASP Chua.

"Selain itu juga saya telah mewujudkan pasukan petugas (task force) untuk memastikan penyiasatan dilengkapkan dan dikemas kini. Saya sendiri turut mengambil peranan di dalam membantu tugasan pegawai penyiasat," katanya ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-14 perbicaraan kes itu.

DSP Mohd Zulkefli berkata pada 19 Dis 2023 beliau telah membantu ASP Dasarathan untuk membuat rampasan pakaian tertuduh menerusi pihak Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Taiping membabitkan sepasang seluar dan baju.

Pakaian berkenaan yang dikemukakan kepada mahkamah di sini ialah seluar berwarna hitam dengan tulisan 'YOUNG' yang panjangnya melepasi paras lutut serta baju kemeja-T jenama Adidas berwarna putih.

Saksi itu berkata rampasan tersebut dibuat kerana pakaian berkenaan adalah yang diguna dan dipakai oleh tertuduh semasa kejadian.

"Seterusnya pada hari yang sama (19 Dis 2023) saya telah membuat serahan kepada ASP Dasarathan untuk lanjut penyiasatan beliau. Selain daripada tindakan tersebut, saya tiada peranan secara langsung di dalam penyiasatan kecuali menyelia dan memantau tugasan pengawai penyiasat dan pasukan task force.

"Sepanjang saya menyelia, penyiasatan telah dilengkapkan dan dikemas kini dengan membabitkan rakaman keterangan saksi-saksi, siasatan forensik, teknikal dan perubatan," katanya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid, DSP Mohd Zulkefli bersetuju bahawa tertuduh ditahan pada 15 Dis 2023.

Mior Faridalathrash: Mengapa rampasan tidak dibuat oleh IPD Ipoh semasa tangkapan dibuat?

DSP Mohd Zulkefli: Saya tidak dapat menjawab soalan tersebut Yang Arif kerana pada peringkat awal, siasatan dijalankan oleh pihak trafik.

Mior Faridalathrash: Kamu tidak membuat sebarang tandaan ke atas kedua-dua barang kes tersebut, bagaimana kamu boleh pastikan barang kes yang dikemukakan di mahkamah hari ini adalah yang sama dirampas di Penjara Taiping sedangkan tiada sebarang tandaan dibuat?

DSP Mohd Zulkefli: Berdasarkan jenama yang tertera, tercatat pada barang kes Yang Arif.

Pendakwaan dikendalikan TPR Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 45, diwakili peguam Mior Faridalathrash, M. Athimulan dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Mohd Nazri, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Isnin.

-- BERNAMA