Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata ia bagi memastikan perbuatan yang dilakukan dan perkataan dikeluarkan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Saya dah banyak kali sebut, kita perlu hati-hati dalam perbuatan dan perkataan kita (terutamanya melibatkan) sensitiviti kaum. Kita tak nak perkataan dan perbuatan yang kita keluarkan akan menyebabkan kemarahan kaum lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Muhibbah MADANI Tahun Baharu Cina 2025 di Bangunan Persatuan Hokkien Klang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada satu rakaman video tular di media sosial berkenaan seorang penjaja jagung yang meletakkan makluman berbaur perkauman pada jualannya, yang dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang dekat sini baru-baru ini.
Semalam Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi satu hantaran di laman X berkata sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini tidak boleh diterima dan dikompromi.
Sementara itu Mohd Na'im berkata program yang diselaras oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini bertujuan mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum serta agama.
"Itu sebahagian lumrah kejadian manusia. Kita diminta saling mengenal, menghormati kepelbagaian dan seperti semua sedia maklum dalam pembinaan kerajaan MADANI, semua usaha ke arah kesatuan dan perpaduan itu memang diutamakan.
Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Mohd Na'im menasihati masyarakat untuk tidak hidup dalam keadaan bercakap dengan kata-kata yang buruk, memfitnah, memaki hamun dan saling bertengkar di antara satu sama lain.
"Ini bukan akhlak yang diajarkan oleh Islam. Baginda Rasulullah SAW berpesan seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka berkata-kata keji dan buruk," katanya.
-- BERNAMA
