SEMASA arwah ibu saya masih ada, beberapa kali beliau bangkitkan niat untuk menunaikan ibadah umrah semasa bulan Ramadan.

Katanya, tentu seronok dapat berbuka beramai-ramai, makan seadanya dan boleh beribadat dengan aman.

Jawab saya: "Tunggulah, mungkin kita sekeluarga boleh pergi beramai-ramai, lebih seronok."
Beliau jatuh sakit semasa Ramadan dan Allah sebagai Pencipta, mengambilnya pada bulan Syawal 1444H/2023, di usia 72 tahun.


Hanya hampir setahun selepas ketiadaannya, hati saya dijentik dan rindu tiba-tiba datang untuk menggerak langkah mengunjungi Mekah dan Madinah. 

Tidak merancang, tetapi tarikh kunjungan menunaikan umrah pada bulan Mac 2024, termasuk juga dalam 10 hari awal Ramadan. Inilah pengalaman pertama kali yang manisnya tidak terperi.

Berpuasa di Mekah dan berbuka di Masjidilharam sememangnya menarik, lebih khusus, sangat manis.

Cuaca di bulan Mac, pada awal Ramadan sedikit panas, terik juga, walaupun ada angin bertiup sekali-sekala. Tetapi, tiada dahaga, lapar atau rungutan letih dan panas. Itu kemanisan pertama.

Semasa Ramadan, pihak berkuasa Arab Saudi masih giat melakukan kerja-kerja ubah suai bangunan, perluasan di sana-sini bagi memudahkan lebih ramai umat Islam datang berkunjung sama ada menunaikan haji, umrah atau melancong pada masa akan datang.

Akibatnya, banyak lorong ditutup, terdapat banyak sekatan dibina di mana-mana. Kesannya pula, perlu berjalan lebih jauh untuk sampai ke Masjidilharam.

Berjalan lebih jauh bermakna, lebih tenaga digunakan. Lebih tenaga digunakan, tambahan pula di bulan puasa, bererti, lebih letih.

Tetapi, dalam cuaca panas, jalan lebih jauh melepasi sekatan demi sekatan, tiada keletihan saat bersahur sehingga berbuka pada jam 6:25 petang. Ia kemanisan kedua.

Tiba Ramadan, yang paling ditunggu pastinya waktu berbuka. Jika di Malaysia, sebaik waktu Zohor, sudah ada perkiraan juadah apa mahu disediakan, tiba masa berbuka, penuh satu meja, itu dan ini menu tersedia.

Tetapi berada di Mekah, di bulan puasa, semua berebut-rebut mahu mendapat barakah dan redha Allah.

Walaupun bersesak ramai jemaah, kebanyakan, malah majoriti sebenarnya, tidak pulang ke hotel untuk berehat selepas Zuhur menunggu Asar.

Majoriti duduk-duduk di dalam masjid, membaca al-Quran, berzikir dan ikuti usrah. Lalu, berbuka, menunya, apa? "Kurma dan air zam-zam mencukupi," senada semua jemaah akui baik dari negara Asia, Afrika dan negara Arab.

Dan, apabila saat berbuka, semua jemaah mendapat pek makanan, tajaan kerajaan Arab Saudi, dengan di dalamnya terdapat kurma, roti, dadih, kuih manis, kek, air putih dan air kotak.

Tiada seorang pun terkecuali daripada mendapat pek makanan itu. Itu belum dikira apabila jemaah lain menderma, memberi kopi berempah, menghulurkan coklat atau berkongsi sebagainya.

Penuh juga hidangan kala azan bergema. Nah, itukan kemanisan juga?

Apabila saat berbuka puasa, semua jemaah mendapat pek makanan, tajaan kerajaan Arab Saudi.

Berpeluang solat tarawih di Masjidilharam, di mana sahaja di dalam masjid suci itu adalah sesuatu yang istimewa dan manis, tentunya.

Di dataran tempat tawaf, di Multazam, di hadapan Kaabah, di saf hadapan, di tingkat dua, di kawasan baharu perluasan ketiga dan di ruangan terbuka atap masjid, kesemuanya dapat dengar dengan jelas suara merdu Imam - Imam Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, namanya, mengalunkan surah demi surah semasa 10 raakat tarawih dan 3 rakaat witir.

Walaupun tidak faham bahasa Arab, bahasa Al-Quran, saat dibaca mengenai Ramadan dan kerinduan kepada Lailatulqadar, hati jadi sayu dan sebak, apalagi mengenang dosa-dosa yang dihimpun sepanjang hidup.

Terpegun dengan jelasnya suara Imam yang merdu serta tertib bacaannya, tidak faham bahasa Arab tetapi mengalirkan air mata mendengarkan alunan ayat al-Quran semasa solat terawih, satu lagi kemanisan kenangan, ya, ini saya setuju.

Mengejar ganjaran Lailatulqadar

Saya berada di Mekah, menunaikan umrah pada minggu pertama Ramadan. Maknanya, semasa 1 Ramadan disambut, saya di Mekah, bukannya di Madinah.

Semasa mengalu-alukan Ramadan, pancaran laser kelihatan jelas di Menara Jam (Clock Tower).

Cahayanya menerangi suasana malam tidak hanya di kawasan masjid tetapi jauh merentasi kawasan Mekah Al-Mukarramah.

Kebetulan, saya bersolat di atas bumbung masjid semasa cahaya laser dipancarkan sebagai petanda bermulanya 1 Ramadan.

"Itu petanda jelas Ramadan sudah tiba, kalau tiada pancaran laser, maknanya bukan 1 Ramadan lagi. Itu memang tradisi kerajaan Arab Saudi menghebahkan kedatangan 1 Ramadan pada setiap tahun," kata seorang rakan dari Libya, duduk bersebelahan semasa Maghrib menunggu Isyak di atas bumbung masjid.

"Memang berseri-seri dan meriah sekali," jawab saya terpegun melihat pancaran laser di mana begitu ramai tidak melepaskan peluang merakam momen itu.

Dari atas bumbung, pemandangan cahaya laser itu lebih jelas kelihatan berbanding kawasan lain di dalam masjid.

Kata saya kepada rakan Libya: "Ini kemanisan Ramadan saya pada tahun ini."

Penulis bergambar kenangan berlatar belakang Menara Jam (Clock Tower).

Pulang dengan kerinduan dalam doa untuk kembali semula dan mahu menikmati 10 hari terakhir Ramadan, saya tinggalkan Mekah dengan berat hati.

Tetapi, kemudiannya selepas pulang, rakan universiti saya menyusul ke sana untuk menyambut 10 hari terakhir Ramadan dan Aidilfitri bersama ibunya.

Kongsinya kepada saya, pada 10 malam terakhir, jemaah makin ramai, berbuka puasa kian meriah, tarawih usah cerita, lebih padat berbanding 10 awal Ramadan, mirip pesta juga ada.

"Jika kakitangan awam, kerajaan Arab Saudi memberi cuti umum untuk beri tumpuan kepada 10 malam terakhir beribadat atau mengejar Lailatulqadar," kata rakan saya itu.

Bukan itu sahaja, solat tarawih pula dipercepat sedikit dan tiada witir tetapi ada solat tahajjud pada 10 malam terakhir.

Sebaik tarawih 10 rakaat selesai, jemaah berduyun-duyun keluar untuk makan sebelum berduyun-duyun semula masuk untuk solat tahajjud dan witir.

Semuanya untuk satu matlamat - mengejar ganjaran Lailatulqadar. Sungguh, manis betul pengalaman rakan saya di 10 malam terakhir Ramadan di Mekah, semasa bulan puasa.

Lain benar dengan situasi di Malaysia. Kalau 10 malam terakhir Ramadan di sini, saf barangkali makin kurang, kita lebih sibuk membuat persiapan Aidilfitri, keluar membeli-belah mencari juadah untuk hidangan di hari raya nanti. 

Semakin Ramadan mahu berlalu pergi dan Syawal mula mengalu-alukan datang, rindu tetap melekat di Mekah, pada kenangan manisnya membuat pengisian di bulan Ramadan.

Kini, saya rindu lagi untuk ke sana, dalam doa saya panjatkan agar Allah jemput lagi ke Mekah, untuk tunai haji di bulan Zulhijjah pula.


* Azlinariah Abdullah ialah Editor Astro AWANI dan penerbit program Awani PAGI. Beliau menunaikan ibadah umrah selama dua minggu di bulan Mac 2024.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.