KUALA LUMPUR: Malaysia sedia mengadakan perbincangan di peringkat dasar dan teknikal dengan Indonesia bagi mengiktiraf bersama sijil vaksinasi COVID-19, melalui aplikasi pemantauan negara masing-masing iaitu MySejahtera (Malaysia) dan PeduliLindungi (Indonesia).

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerjasama itu akan menyumbang kepada pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur, serta merangsang aktiviti ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

"Malaysia juga menyambut baik cadangan bagi kedua-dua negara melaksanakan gelembung perjalanan (travel bubble) seperti inisiatif Reciprocal Green Lane (RGL), Travel Corridor Arrangements (TCA) dan Vaccinated Travel Lane (VTL)," katanya pada sidang media selepas pertemuan dua halanya dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi di Jakarta pada Isnin yang diadakan sempena lawatan rasminya ke negara itu.

"Buat masa ini, pelaksanaan gelembung perjalanan boleh memberi keutamaan kepada perjalanan rentas sempadan bagi tujuan rasmi dan perniagaan, dan secara beransur-ansur dibuka bagi tujuan lain seperti pendidikan, pelancongan dan sosial.

Dalam pertemuan itu, Saifuddin turut memaklumkan hasrat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia buat julung kalinya dalam masa yang terdekat.

Ia akan memberi peluang kepada pemimpin tertinggi kedua-dua negara untuk menetapkan hala tuju hubungan kerjasama dua hala antara kerajaan Malaysia yang baharu dan Pemerintah Indonesia.

Malaysia juga berharap agar Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dapat ditandatangani semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Indonesia kelak, katanya.

Mengenai pengambilan tenaga kerja Indonesia dan pekerja domestik, Saifuddin percaya kedua-dua negara akan dapat memuktamadkan 'MoU on Recruitment, Employment and Repatriation of Foreign Workers' dan 'MoU on the Employment and Protection of Indonesian Domestic Workers in Malaysia'.

Mengenai pekerja migran Indonesia, katanya, Malaysia menzahirkan penghargaan kepada negara itu di atas komitmen dan kerjasama yang erat dalam membantu memudahcara penghantaran pulang warganegara Indonesia yang bekerja secara tidak sah di Malaysia.

"Malaysia berharap agar Program Rekalibrasi Pulang (PRP) dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) yang telah dilanjutkan sehingga hujung tahun 2021 ini dapat dimanfaatkan oleh warganegara Indonesia yang berada di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau bekerja secara sah di Malaysia," katanya.

Saifuddin berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam memastikan anak-anak pekerja migran Indonesia mempunyai akses kepada pendidikan, termasuk melalui penubuhan Pusat Pembelajaran Alternatif seperti Sekolah Ekspariat, Community Learning Centre (CLC) dan Pusat Bimbingan HUMANA," katanya.

Saifuddin kini berada dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Jakarta bermula semalam, yang merupakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik semula sebagai Menteri Luar pada 30 Ogos lepas.

-- BERNAMA