Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana pemikiran secara kreatif dan inovatif penting untuk menambah baik sektor ini.
“Ini matlamat di bawah kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin meletakkan negara kembali sebagai sebuah negara yang dihormati.
“Sebab itulah salah satu kekuatan kita ialah dalam bidang kemahiran, TVET di mana sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan dikendalikan di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meningkatkan kembali TVET.
“Dengan pekerja berkemahiran inilah yang kita harapkan dapat mengangkat kembali kedudukan negara kita dari segi persaingan dan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Indah Water Konsortium (IWK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, pagi ini.
Dalam masa sama, Fadillah optimis IWK telah melakukan yang terbaik dalam menyediakan landasan sesuai untuk seluruh kakitangannya.
“Sebagai peneraju industri pembetungan negara, IWK perlu menunjukkan contoh teladan kepada pemain industri lain, terutamanya pengendali pembetungan di rantau ini dan seterusnya di peringkat global.
"Kita kena tingkatkan inovasi dan kreativiti di kalangan sektor ini. Maknanya kalau kita mahir dalam bidang tertentu termasuk dalam bidang kumbahan, membersihkan, menyucikan negara kita ini dan ramai orang tak nak bekerja dalam 3 D’s (Dangerous, Dirty & Difficult) ini.
“Tetapi anda yang berada di sini sentiasa memastikan negara kita berada dalam keadaan bersih,” katanya.
Terdapat tiga jenis kategori yang dianugerahkan hari ini iaitu Sijil Penganugerahan Pengiktirafan Khas SKM Tahap 3 & SLDN dan Penganugerahan SKM Tahap 2.