KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kepengerusian ASEAN yang dipegang pada tahun hadapan menjadi lebih berkesan dengan menjadi penyelesai kepada pelbagai permasalahan yang berlaku di rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini termasuklah menjadi Pengerusi ASEAN yang boleh menyelesaikan masalah di Laut China Selatan dan isu di Myanmar.

"Kalau boleh kita UMNO sama-sama kita promosikan pada tahun depan Malaysia akan jadi Pengerusi ASEAN. Seluruh dunia melihat negara kita, seluruh dunia mahu melihat Malaysia menjadi pengerusi berkesan.

"Pengerusi yang boleh selesaikan masalah Laut China Selatan, masalah di Myanmar, masalah persempadanan laut negara-negara littoral dalam kawasan Asia Tenggara. Ini merupakan tanggungjawab besar kepada Malaysia yang perlu kita jayakan bersama," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikan ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Mohamad berkata, penyertaan Malaysia dalam blok kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) bukan kerana ingin bersama-sama dalam satu triti pertahanan, namun lebih kepada manfaat ekonomi yang bakal diperoleh daripada blok berkenaan.

Katanya, ketika ini BRICS memegang 37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) dunia serta mempunyai populasi gabungan kira-kira 41 peratus penduduk dunia.

"BRICS bukan merupakan satu kumpulan yang memerlukan kita menandatangani apa-apa triti. Ia satu kumpulan informal untuk kita menyuarakan bagaimana pihak Selatan Global yang sekian lama ini dianaktirikan dan memastikan suara di Selatan didengar oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam BRICS juga adalah atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang membuat panggilan telefon sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Presiden Lula mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri, beliau menjemput Malaysia menjadi anggota BRICS, BRICS merupakan negara besar-besar," katanya. - BERNAMA