Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia menyasar menjalin FTA dengan enam anggota GCC sebagai satu blok serta perjanjian dua hala di Asia Barat untuk meningkatkan hubungan komersial dengan rantau ekonomi utama itu.
Menurutnya, Arab Saudi, ekonomi terbesar di rantau itu sedang menyelaraskan rundingan FTA Malaysia dengan GCC.
Malaysia, yang ketika ini mempunyai tujuh FTA dua hala dan sembilan FTA pelbagai hala, sedang membincangkan perjanjian sedemikian dengan beberapa negara.
"Kita akan memuktamadkan perjanjian dengan UAE menjelang akhir tahun ini," kata Tengku Zafrul kepada Bernama, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, ini akan menjadi perjanjian pertama seumpamanya Malaysia dengan mana-mana negara Arab dan menandakan pertumbuhan pesat hubungan komersial negara dengan rantau Teluk.
"Malaysia mengadakan perbincangan dengan semua negara GCC, termasuk Arab Saudi, untuk mencapai perjanjian dua hala," kata Tengku Zafrul.
Beliau berada di sini mengiring Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi ke India selama tiga hari baru-baru ini. - BERNAMA