KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk "mempertingkat" dan memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada dengan negara tertentu seperti China, India dan ekonomi anggota ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah ini bertujuan memanfaatkan landskap ekonomi global yang sentiasa berubah terutama apabila Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Malaysia mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN daripada Laos secara rasmi pada 1 Jan 2025.

Beliau berkata, beberapa FTA yang telah ditandatangani agak lama dan melebihi 10 tahun, justeru perjanjian ini perlu dipertingkat, yang memerlukan penyertaan bidang baharu seperti digital dan kemampanan.

"Kita bercakap mengenai kepentingan mempertingkat beberapa FTA yang telah ada dengan negara tertentu terutama China, India, malah dengan ASEAN sendiri," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai kepengerusian Malaysia bagi ASEAN (Tonggak Ekonomi), di sini, pada Selasa.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai 16 FTA secara dua hala dan pelbagai hala.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia menggesa supaya 15 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), yang akan dibincangkan semasa mesyuarat pegawai kanan ekonomi ASEAN akan datang, diterima pakai semasa mesyuarat menteri-menteri.

"Oleh itu, daripada 15 PED, kami akan memberi tumpuan kepada empat teras strategik. Apa yang akan kami lihat adalah bidang yang merangkumi tema seperti keterangkuman dan kemampanan.

"Beberapa bidang itu dalam rantaian bekalan, terutama semikonduktor (dengan) kita mempunyai teras strategik lain yang juga dalam kerangka kerja digital dan perjanjian kerangka ekonomi," katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan semikonduktor sebagai antara industri yang menawarkan peluang dari huluan sehingga hiliran dan bidang yang boleh melibatkan peranan semua pihak.

"Kita kemudiannya boleh memasarkan ASEAN sebagai rantaian bekalan alternatif yang kukuh dengan menyediakan industri penting seperti semikonduktor," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai Visi Komuniti Ekonomi ASEAN yang akan merangkumi tempoh 20 tahun sehingga 2045 serta Visi Strategik Ekonomi ASEAN lima tahun, yang kedua-duanya akan dilancarkan semasa kepengerusian Malaysia tahun depan.

Menurutnya, selain itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua.

Beliau berkata, ini kali pertama Sidang Kemuncak ASEAN-GCC melihat sudut pandangan ekonomi, dengan Malaysia sebagai tuan rumah menyasarkan kemungkinan untuk membentuk Kerangka Kerjasama Ekonomi ASEAN-GCC.

"Ya, ini adalah kali pertama kami menjadi tuan rumah kepada negara-negara GCC serta kali pertama untuk pemimpin ASEAN memutuskan untuk menjemput China sebagai sebahagian daripada mesyuarat ASEAN-GCC," kata Tengku Zafrul.

Blok ASEAN pada masa ini adalah ekonomi kelima terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar nominal berjumlah AS$3.8 trilion. - BERNAMA