NARATHIWAT (Selatan Thailand): Melihat ribuan manuskrip, naskhah al-Quran lama dan artifak berusia 1,000 tahun lalu yang dipamerkan di Muzium Al-Quran Melayu Raya di Madrasah al-Ahmadiah al-Islamiah di sini, membuatkan pengunjung seolah-olah berada di zaman Melayu silam.

Paling mencuri perhatian ialah sebuah al-Quran bertulisan tangan kepunyaan tokoh ulama Nusantara, Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusof Ahmad, yang siap ditulis pada 1286 Hijrah dan al-Quran yang digelar paling indah dalam dunia Islam kerana mempunyai ragam hias menggunakan air emas di setiap awal surah, ditulis pada 1134 Hijrah.

Turut dipamerkan kitab suci al-Quran dari zaman Empayar Mogul di India dengan bahagian kulitnya adalah daripada kulit haiwan manakala kertas pula diperbuat daripada kulit kayu, selain al-Quran dari Yaman yang berusia tidak kurang 1,000 tahun, ditulis di atas kulit kambing, kata mudir madrasah dan pengelola muzium berkenaan, Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad Samae.

Beliau berkata, muzium itu yang mula beroperasi pada 2010, dibahagikan kepada lima bilik pameran, iaitu Manuskrip al-Quran, Persidangan, Manuskrip Melayu, Teknologi Melayu Lama dan Kehebatan Ilmu Melayu.

"Proses pengumpulan khazanah berharga seperti kitab suci dan dokumen lama ini bertujuan memelihara kepentingan dan nilai sejarah serta ilmu yang terkandung di dalamnya, agar dapat dinikmati generasi akan datang," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kata beliau, secara tidak langsung muzium itu menjadi pusat pembelajaran bagi pelajar dan penyelidik menimba pengetahuan tentang budaya dan kesenian Islam, menerusi kajian ke atas manuskrip dan al-Quran yang dipamerkan.

Menurutnya, muzium itu menyimpan 79 naskah al-Quran bertulisan tangan yang telah siap dibaik pulih berusia 150 hingga 1,100 tahun, selain hampir 200 buah lagi sedang menunggu giliran untuk dibaik pulih.

Kos baik pulih al-Quran yang diperoleh daripada pelbagai sumber di seluruh dunia terbabit ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye, selain sumbangan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, katanya.

Muzium itu bukan sekadar pusat pengumpulan al-Quran lama tetapi turut menghimpunkan manuskrip Melayu dalam pelbagai bidang seperti sains hayat, sains fizik, perubatan, matematik dan ilmu falak yang diperoleh dari sekitar Thailand dan masih dalam keadaan baik.

"... dan sebagai usaha pemuliharaan, sejumlah 39,000 manuskrip lama ini telah berjaya didokumentasikan dalam bentuk digital, hasil kerjasama dengan beberapa universiti di Malaysia," katanya.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh melihat sendiri pelbagai senjata lama antaranya keris, senapang, pedang dan lembing serta peralatan yang digunakan di kepulauan Melayu pada zaman dahulu seperti pedati, rengga (tempat duduk berbumbung yang digunakan untuk menunggang haiwan), pemerah tebu, tembikar dan pelita.

"Kita turut memaparkan tokoh agama Islam dan ahli falsafah dari kepulauan Melayu dan dunia Arab," katanya, memberitahu muzium itu akan dipindahkan ke bangunan baharu yang dibina khas tidak jauh dari lokasi asal pada November ini, sekali gus menjadi muzium al-Quran dan warisan Islam terbesar di Asia Tenggara.

Sementara itu, Muhammad Lutfi turut berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai institusi yang mempunyai kepakaran dalam pemuliharaan menuskrip di Malaysia, antaranya Arkib Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Perpustakaan Negara, bagi menjaga warisan Melayu lama ini supaya terus kekal dan dapat dilihat oleh generasi akan datang.

"Kesemua bahan ini adalah benteng orang Melayu, jadi perlu dipulihara dan dipertahankan kerana bahan-bahan ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan berkaitan alam Melayu," katanya. - BERNAMA