KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memacu agenda pembangunan mampan di rantau ini menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan, termasuk menerusi peranan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai pemangkin matlamat pelepasan karbon sifar bersih.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia akan terus menyokong usaha Petronas menjalin kerjasama strategik dengan semua negara.

"Saya percaya seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian Petronas yang berterusan menjadi antara perkara pokok dalam perbincangan dua hala antara saya dengan pimpinan dunia," kata beliau menerusi hantaran di akaun media sosial X, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum itu menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-50 Petronas bersama pemegang taruh dan rakan niaga dari lebih 27 negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, petang tadi.

Menjelaskan selanjutnya, Perdana Menteri berkata sejak penubuhannya, syarikat minyak dan gas negara itu telah berjaya memenuhi mandat dalam menyeimbangkan kepentingan perniagaan dan sumbangan untuk pembangunan negara menerusi kepercayaan serta sokongan erat kalangan pemegang taruh dan rakan niaga dari serata dunia.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan untuk pimpinan dan kakitangan Petronas yang dilihat tidak hanya menjadi tunjang kekuatan ekonomi Malaysia, bahkan kebanggaan negara.

"Ini kerana (Petronas) telah mempertahankan prinsip tatakelola dan tatanan (aturan) yang baik sepanjang 50 tahun sejarah gemilang syarikat berkenaan," kata beliau.

-- BERNAMA