SEREMBAN: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang ibu muda bersama bayi perempuannya yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumah di Felda Sungai Kelamah di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Nurul Asmiera Kardi, 22, yang tidak berkerja dan bayi berusia dua bulan daripada ibunya pada 5.48 pagi.

"Ibunya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya dan bayi yang dibawa bersama. Punca dia keluar dari rumah masih belum diketahui dan siasatan masih dilakukan.

"Nurul Asmiera berketinggian kira-kira 155 sentimeter, memakai tudung, berkulit sawo matang dan pakaian semasa keluar rumah adalah baju kurung hitam jalur putih. Wanita tersebut turut membawa barang kelengkapan bayinya semasa keluar rumah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amiruddien meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu muda itu agar menyalurkan kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Rodzi Md Saad di talian 07-9481221 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di talian 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA