Malaysia akan memperkenalkan visa kemasukan berganda sehingga lima tahun kepada para pelabur asing dan pengurus dana yang berkelayakan untuk melawat negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika mengumumkannya dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2013 di sini hari ini, Najib berkata usaha itu bertujuan menarik lebih ramai bakat ekspatriat untuk memilih negara ini sebagai venue pilihan untuk pelaburan dan seterusnya membantu merangsang pertumbuhan ekonomi.

"Kita mahu meletakkan Malaysia di tengah-tengah ekonomi global abad ke-21: sebuah negara di tengah-tengah pasaran pertumbuhan ekonomi yang kukuh, mahir dalam bidang kewangan dan pembangunan lestari, dan merapatkan jurang antara Timur dan Barat," katanya.

Langkah terbaharu ini adalah antara inisiatif yang telah dilancarkan untuk tujuan itu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pada Disember tahun lepas kerajaan mula mendekati pemimpin korporat ekspatriat dengan menawarkan Pas Residen 10 tahun.
-
"Daripada 1,600 pas yang diluluskan setakat ini, 130 adalah hasil penglibatan proaktif kerajaan," katanya.
Pada April lepas, Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat juga dilancarkan oleh Jabatan Imigresen bagi menyediakan tumpuan untuk keperluan imigresen bagi bakat global terbaik.

Beliau berkata kerajaan juga secara aktif memodenkan undang-undang tenaga manusia pada masa ini dengan memfokuskan kepada usaha meningkatkan produktiviti dan memastikan terdapat fokus yang diperbaharui berhubung pembangunan kemahiran.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga berkata Indeks Komposit KL yang menyaksikan lonjakan lebih daripada 100 mata, yang menutup perolehan sehari terbesar dalam sejarahnya, sehari selepas Barisan Nasional mengekalkan pemerintahannya pada pilihan raya umum ke-13, menunjukkan keutamaan pasaran dalam agenda ekonomi kerajaan berbanding pembangkang.

"Ia adalah menarik untuk melihat perkembangan itu sebagai sokongan terhadap jalan yang telah kita pilih untuk Malaysia.

"Tapi ia juga satu pernyataan kelegaan. Selepas setahun perkembangan yang tidak menentu, risiko politik berkurangan," katanya.

Untuk melangkah ke hadapan, beliau berkata tempoh lima tahun yang akan datang akan memberikan kerajaan peluang bagi menetapkan jalan yang dipilih Malaysia untuk dekad-dekad akan datang.

"Saya memahami dan mengakui mesej daripada para pengundi; bahawa apabila kita meneruskan perjalanan melalui jalan ini, kita mesti telus dan bertanggungjawab, dan manfaat daripada transformasi ekonomi mesti sampai kepada semua rakyat Malaysia.

"Saya akan berusaha bagi memastikan kejayaan negara kita tanpa meminggirkan mana-mana pihak," katanya.