KUALA LUMPUR: Malaysia telah menyatakan hasrat kepada Arab Saudi supaya kuota Haji negara ditambah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata perkara itu disampaikan semasa pertemuan beliau bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, pada Isnin (26 Ogos).

"Dalam pertemuan ini saya telah membangkitkan beberapa perkara penting antaranya permohonan menambah kuota jemaah haji Malaysia bersesuaian dengan populasi rakyat Malaysia.

"Semoga hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi akan memberikan manfaat kepada umat Islam," kata Mohd Na'im menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Rashid Hussain.

Mohd Na'im berkata lawatan kerja rasmi Dr Tawfiq menyerlahkan keyakinan Kerajaan Arab Saudi kepada keupayaan Malaysia sebagai contoh program Makkah Route pada Musim Haji yang lepas.

Dr Tawfiq dalam rangka lawatan ke Malaysia Isnin hingga Rabu (26-28 Ogos) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

-- BERNAMA