KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi inisiatif seperti pakatan Institut Automotif ASEAN, komited dalam mewujudkan satu ekosistem mobiliti yang seragam yang melonjakkan aspek inovasi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata usaha itu juga dapat mengharmonikan piawaian serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi masa depan.

"Inisiatif ini juga menjadi langkah penting ke arah mewujudkan industri automotif kalis masa depan yang memberi manfaat kepada keseluruhan rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan acara pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) di Menara MITI, pada Khamis, yang bertujuan menggalakkan mobiliti elektrik rentas sempadan selain mengukuhkan lagi hubungan antara pemimpin kerajaan, industri dan komuniti.

Acara anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membabitkan perjalanan merentasi rantau ASEAN yang turut menyaksikan penampilan sulung Proton e.MAS menerusi enam unit kenderaan elektrik (EV) dan empat unit model Proton X.

Mengulas acara itu, Tengku Zafrul menyifatkan AUD 2025 sebagai memaparkan kekuatan bersama rantau ini dalam melonjakkan mobiliti mampan sambil mengukuhkan integrasi ekonomi dan pengawasan alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz berkata AUD 2025 menjadi bukti kegigihan ke arah pemupukan kerjasama serantau dalam mobiliti pintar dan mampan, sejajar dengan Dasar Automotif Negara 2020.

"Inisiatif ini dapat menyelaras infrastruktur EV rentas sempadan, rangka kerja kawal selia dan pelaburan dalam mobiliti mampan.

"Menerusi pembangunan rangkaian EV bersepadu dengan dasar dan insentif yang seragam, ASEAN berada dalam kedudukan sebagai peneraju global dalam penggunaan dan inovasi EV selain memanfaatkan ekosistem automotif yang pelbagai untuk mengukuhkan rantaian bekalan serantau serta daya tahan ekonomi," katanya.

Acara pelepasan AUD 2025 itu menandakan permulaan perjalanan sejauh 9,000 kilometer yang merentasi sembilan negara ASEAN untuk menggalakkan kemampanan dalam mobiliti.

Laluan utara bermula di Hanoi, Vietnam yang melintasi Laos, Kemboja dan Thailand sebelum ke Malaysia manakala laluan selatan pula bermula di Manila, Filipina dengan perjalanan meliputi Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia dan Singapura sebelum tiba di Malaysia.

-- BERNAMA