GEORGE TOWN: Pemimpin parti Kerajaan MADANI, khususnya Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang, perlu menjadi contoh kepada rakyat untuk berhadapan dengan isu kaum dan agama dengan sikap yang betul.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata hal ini kerana parti pemerintah negara dan beberapa negeri itu perlu bersama-sama menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu demi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata cara itu juga akan dapat menstabilkan politik negara daripada pelbagai isu perkauman dan agama yang masih berlaku belakangan ini.

"Saya rasa sudah sampai waktunya bermula daripada parti-parti (pemerintah dalam Kerajaan) Perpaduan khususnya Pakatan Harapan menjadi teladan dan contoh kepada rakyat.

"Kita berikhtiar (untuk) berhadapan dengan isu perkauman dan agama dengan sikap yang betul serta memimpin rakyat untuk melihat isu secara teliti, bukan sebaliknya," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa PH Pulau Pinang Bersama Pengamal Media di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang Steven Sim Chee Keong, yang juga Menteri Sumber Manusia, dan Naib Pengerusi PH Dr Zaidi Zakaria, yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Negara.

Mengulas lanjut, Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata politik perkauman serta agama tidak akan dapat menenteramkan negara dan sebagai sebuah kerajaan perpaduan, semua pemimpin perlu bersatu padu untuk menghapuskan perkara itu.

Beliau berkata semua pemimpin juga harus menggunakan segala usaha bagi mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat supaya ia dapat menjadi agenda utama negara dan pada masa sama, jentera kerajaan dapat memfokus kepada pembangunan.

"Di Pulau Pinang, walaupun isu-isu sedemikian tidak begitu hangat berbanding negeri lain kita perlu berhati-hati dan saya juga bersyukur kerana kerajaan negeri yang ditubuhkan sejak tahun 2008 berjaya memakmurkan ekonomi Pulau Pinang dan tidak ada kaum diabaikan daripada arus pembangunan semasa.

"Saya percaya PH bersama komponen Barisan Nasional boleh mainkan peranan penting itu... pada masa sama, kita kekalkan dan wujudkan perpaduan antara kaum maka jentera kerajaan dapat tumpukan perhatian kepada isu-isu pembangunan negara kita," katanya.

-- BERNAMA