KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk meningkatkan integrasi serantau dan memupuk diplomasi parlimen untuk memberi manfaat kepada semua negara ASEAN.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyampaikan mesej itu pada sesi dialog dengan rakan sejawatannya Tran Thanh Man, di Hanoi, Vietnam.

"Memandangkan Malaysia menyandang jawatan Presiden AIPA (Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN) di bawah tema 'Inklusiviti dan Kelestarian', Malaysia bertekad untuk mengukuhkan lagi integrasi serantau dan memajukan diplomasi parlimen yang memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN.

"Penglibatan di Vietnam ini menandakan permulaan kepimpinan Malaysia dalam AIPA, dengan tujuan memacu pertumbuhan inklusif, inovasi digital dan pembangunan mampan di seluruh rantau ASEAN, pada masa yang sama mengukuhkan kerjasama parlimen dalam kalangan negara anggota," menurut kenyataan itu.

Johari yang merupakan Presiden baharu AIPA ke-46, sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam sejak semalam atas jemputan Thanh Man.

Semasa dialog, Vietnam menyatakan minatnya yang mendalam untuk mendapatkan kepakaran Malaysia bagi melatih syarikat-syarikat Vietnam dan pihak berkuasa tempatan mengenai proses pengeluaran dan pensijilan halal.

"Komitmen Vietnam untuk membangunkan industri halalnya, ditunjukkan melalui persidangan halal berskala besar yang diadakan di Hanoi pada 22 Okt, yang dihadiri Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh," menurut kenyataan itu.

Negara Asia Tenggara itu telah menubuhkan Pihak Berkuasa Pensijilan Halal (HALCERT) di bawah Kementerian Sains dan Teknologinya pada April 2024 untuk menyeragamkan dan menguatkuasakan standard halal.

Dialog itu juga menggariskan kemajuan luar biasa dalam hubungan dua hala, dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara Asia Tenggara meningkat kepada hampir USD$10 bilion dalam lapan bulan pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu Malaysia adalah sumber pelancong kedua terbesar Vietnam di rantau ASEAN, dengan lebih 360,000 rakyat Malaysia melawat negara Indo-China itu dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Semasa dialog, kedua-dua pemimpin turut membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang utama seperti teknologi tinggi, pelancongan, perdagangan dan tenaga.

-- BERNAMA