MAKKAH: Malaysia berisiko kehilangan keistimewaan sekiranya ada dalam kalangan rakyat Malaysia berterusan melanggar undang-undang dan peraturan Arab Saudi termasuk menyalahgunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji.
Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata sekiranya ditangkap kerana melakukan perbuatan itu (menyalahgunakan visa pelancongan), ia akan mencemarkan nama baik dan imej Malaysia yang selama ini dipandang tinggi oleh negara berkenaan.
"Kita nasihatkan mereka untuk tidak melanggar peraturan Arab Saudi serta peraturan Malaysia kerana apabila ditangkap ia akan menyebabkan nama dan imej negara kita terjejas.
"Kita perlu memahami bahawa Malaysia selalunya diberi keutamaan, diberi kemudahan dan keistimewaan oleh Arab Saudi dalam pelbagai situasi termasuk dari segi visa pelancongan, visa umrah dan visa haji," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini malam tadi.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji berkata demikian selepas menyambut ketibaan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia KT02 dari Madinah sebanyak 281 orang yang tiba dengan tujuh buah bas. Turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff.
Syed Salleh berkata selain itu Malaysia diberi keistimewaan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan umrah dan ia hanya diberikan kepada tiga negara Islam termasuk Indonesia dan Kazakhstan sedangkan visa itu adalah kemudahan kepada negara bukan Islam bagi tujuan pelancongan.
"Saya ingin menasihatkan bagi mereka yang mempunyai hasrat untuk menggunakan visa selain visa haji dan tinggal lama untuk laksanakan ibadah haji, jangan melakukan perkara ini. Pertama ia telah melanggar akta dan peraturan Lembaga Tabung Haji (TH) kerana mereka datang dengan syarikat yang tidak dilesenkan oleh TH.
"Kedua mereka juga melanggar peraturan Arab Saudi dan kerajaan Arab Saudi juga telah mengeluarkan pendirian dari segi hukum bahawa perbuatan menggunakan visa selain visa haji untuk melaksanakan haji merupakan satu perkara yang tidak dibenarkan oleh agama kita," katanya.
Sehubungan itu beliau menasihati rakyat Malaysia yang mempunyai visa selain visa haji supaya meninggalkan Tanah Suci selewat-lewatnya pada 29 Zulkaedah dan segera kembali ke tanah air untuk mengelakkan daripada ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang lebih berat.
Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini memandang serius tentang perkara berkenaan kerana terlalu banyak berlakunya penipuan selain kesesakan di khemah jemaah haji di Madinah dan Arafah sehingga merosakkan perkhidmatan kepada jemaah haji yang sah.
Berikutan itu pihak berkuasa Arab Saudi mula melakukan sekatan jalan raya dan memantau jalan tertentu untuk memastikan hanya mereka yang ada visa haji sah sahaja dibenarkan masuk kawasan haji terutama Makkah.
"Kita juga telah mendapat beberapa laporan bahawa kerajaan Arab Saudi telah mula melakukan tangkapan terhadap agensi atau pihak tertentu yang cuba tawarkan khidmat haji kepada mereka yang datang dengan visa pelancong ataupun visa umrah dan bercadang untuk tinggal lebih lama bagi menunaikan haji.
"Ini mesej jelas diberikan kerajaan Arab Saudi bukan hanya sekarang, tetapi sebelum ini ini juga dan mesej ini juga telah diberikan beberapa bulan sebelum ini kepada semua negara yang menghantar jemaah haji untuk menunjukkan perkara ini satu perkara berat," katanya.
Sementara itu sebanyak 563 jemaah haji daripada kumpulan pertama KT01 dan kumpulan kedua (KT02) tiba secara berperingkat di Hotel Abraj Al Janadiriyah yang turut menjadi Ibu Pejabat TH di Makkah.
Kumpulan ini kemudiannya dibawa menunaikan umrah secara berperingkat sejak 9 malam tadi dengan dibantu oleh Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH.
-- BERNAMA
Bernama
Wed May 15 2024

Syed Salleh antara yang menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia dari Madinah di Hotel Abraj Al Janadiriyah, Mekah, semalam. --fotoBERNAMA

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Rusia buka kedutaan di tujuh negara Afrika menjelang 2026
Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan.

Maldives akan usir ekspatriat gagal serah data biometrik
Operasi Kurangi, yang dilancar pada Mei 2024, bertujuan untuk menyediakan penyelesaian kekal kepada isu pendatang tanpa dokumen di Maldives.

Ruang khemah sempit di Mina di luar bidang kuasa TH - Syed Salleh
Ini kerana setiap negara telah diperuntuk dengan keluasan tanah tertentu berdasarkan jumlah kuota jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

Pusat Rawatan TH dapat pengiktirafan Arab Saudi tiga tahun berturut-turut
Pusat Rawatan TH itu adalah pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama di Arab Saudi yang mendapat kelulusan berkenaan.

Malaysia berisiko hilang keistimewaan jika berterusan langgar peraturan visa
Sekiranya ditangkap kerana menyalah guna visa pelancongan, ia akan mencemarkan nama baik dan imej Malaysia yang selama ini dipandang tinggi.

Malaysia negara pertama lengkapkan kontrak dalam E-Haj
Malaysia juga berjaya menjadi negara pertama menerima kelulusan visa haji untuk tahun ini.